WASHINGTON, 4 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyiar satu video semalam dari hospital di mana beliau bergelut memerangi COVID-19, berkata beliau semakin pulih dan akan ‘kembali bekerja tidak lama lagi’ – tetapi mengakui hari-hari akan datang bakal menjadi ‘ujian sebenar.’
“Saya datang ke sini dengan rasa tidak berasa sihat. Saya rasa lebih baik sekarang,” kata Trump, 74, dari pusat perubatan tentera Walter Reed berhampiran Washington.
“Mereka berusaha keras untuk saya kembali sihat dan saya fikir saya akan kembali bekerja tidak lama lagi. Saya juga tidak sabar untuk menamatkan kempen.”
Kelihatan santai dalam kemeja dan jaket sut biru, Trump mengakui timbulnya ketidakpastian mengenai penyakit tersebut, yang boleh menjangkiti pesakit yang sudah sembuh tanpa amaran.
“Saya mula berasa sihat. Anda tidak tahu dalam tempoh beberapa hari akan datang, saya agak ia merupakan ujian sebenar, jadi kami akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa hari ini.”

Isteri Trump juga diuji positif tetapi beliau berkata gejalanya tidak seteruk berbanding beliau.
“Melania mengendalinya dengan amat baik. Seperti yang anda tahu, dia lebih muda dan hanya mengalami gejala yang lebih ringan.”
Lewat semalam, doktor Rumah Putih Sean Conley berkata Trump ‘masih belum bebas dari risiko,’ tetapi kumpulan perubatan ‘berasa optimistik.’
Ketua Kakitangan Rumah Putih Mark Meadows berkata keadaan Trump telah mencetuskan kebimbangan pada Jumaat, tetapi keadaan beliau telah bertambah baik.
“Pagi semalam, kami amat bimbang, beliau mempunyai demam dan paras oksigen darahnya merosot mendadak,” beritahu Meadows kepada Fox News lewat semalam. – AFP































