Trump terima pelawaan Kim

SEOUL, 13 Jun – Donald Trump menerima jemputan Kim Jong Un untuk melawat Korea Utara semasa sidang kemuncak bersejarah mereka, lapor media Pyongyang hari ini, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata dunia telah berundur dari pinggir ‘bencana nuklear’.

Pertemuan buat julung kalinya di Singapura semalam menyaksikan pemimpin demokrasi paling berpengaruh di dunia berjabat tangan dengan Kim, keturunan generasi ketiga kepimpinan dinasti diktator ketika mereka berdiri di hadapan bendera negara mereka.

Dalam Twitter, Trump berkata siding kemuncak kali pertama antara pemimpin-pemimpin itu bererti ‘dunia telah mengambil langkah besar ke belakang dari kemungkinan bencana nuklear’.

“Tidak ada lagi pelancaran roket, ujian nuklear atau penyelidikan! Tebusan dipulangkan kembali ke kediaman mereka bersama keluarga mereka. Terima kasih kepada Pengerusi Kim, detik perjumpaan kami adalah hari bersejarah!”

Dalam kenyataan bersama selepas rundingan, Kim bersetuju dengan ‘penamatan menyeluruh program nuklear Semenanjung Korea’, – ungkapan yang disukai Pyongyang yang tidak menyatakan tuntutan AS supaya Korea Utara melepaskan senjata nuklear dalam cara ‘yang boleh ditentusahkan’ dan ‘tidak boleh ditarik balik’.

Dalam laporan pertamanya pada sidang kemuncak bersejarah, agensi berita rasmi KCNA membuat laporan hantaran bersemangat tentang rundingan, dengan menyifatkannya ‘rundingan membina zaman’ yang akan membantu memelihara ‘perubahan radikal dalam hubungan paling berseteru, Korea Utara-AS.

Laporan itu mengatakan kedua-dua pemimpin masing-masing menjemput antara satu sama lain bagi melawat negara mereka. ‘Kedua-dua pemimpin tertinggi telah menerima jemputan antara satu sama lain,” lapor KCNA.

Ia menegaskan bahawa Trump telah melahirkan hasratnya untuk menarik balik sekatan ke atas Korea Utara yang mana Presiden AS telah memberitahu sidang media besar akan berlaku ‘apabila mereka pasti bahawa nuklear bukan lagi faktor’. “Buat masa ini sekatan masih kekal,” tambahnya.

Dengan tajuk akhbar “Pertemuan sedekad bakal membuka sejarah baru dalam hubungan DPRK-AS, akhbar

harian parti memerintah Korea Utara, Parti Pekerja, Rodong Sinmun telah menyiarkan lebih kurang 33 gambar di seluruh empat muka suratnya. – AFP