Trump terima surat ‘amat positif’ dari Kim

WASHINGTON, 11 Sept – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menerima surat ‘amat positif’ daripada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un yang berusaha mengadakan mesyuarat susulan selepas sidang kemuncak bersejarah mereka di Singapura, kata Rumah Putih.

“Ia adalah surat yang amat positif,” kata jurucakap Rumah Putih Sarah Sanders, sambil menambah mesej yang disampaikan menunjukkan ‘komitmen berterusan Pyongyang untuk menumpu pada program pembatalan senjata nuklear’ di semenanjung Korea.

“Tujuan utama surat itu adalah jadual satu lagi mesyuarat dengan presiden, di mana kami bersikap terbuka dan telah pun dalam proses menyelaras,” kata beliau semalam pada taklimat media Rumah Putih pertama dalam hampir tiga minggu.

Sanders menambah surat itu merupakan ‘bukti perkembangan lanjut’ dalam hubungan Washington dengan Pyongyang.

Trump dan Kim mengadakan sidang kemuncak bersejarah di Singapura pada Jun yang menambah prospek mencapai satu kejayaan dalam mengawal program nuklear di Korea Utara.

Gambar fail pada 11 Jun 2018 menunjukkan Kim Jong Un (kanan) berjalan bersama Donald Trump semasa sesi rehat ketika sidang kemuncak bersejarah AS-Korea Utara, di Singapura. – AFP

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in, yang menjadi perantara sehingga mencapai mesyuarat pada Jun lalu itu, berjanji akan terus memainkan peranannya untuk melancarkan dialog di antara Trump dan Kim.

“Kempen pembatalan senjata nuklear yang menyeluruh di semenanjung Korea merupakan satu isu yang harus diselesaikan di antara AS dan Korea Utara menerusi rundingan,” beritahu Moon pada mesyuarat kabinet hari ini.

“Satu wawasan besar dan keputusan berani di antara pemimpin Korea Utara dan AS diperlukan sekali lagi demi maju ke peringkat lebih tinggi dalam menghapus senjata nuklear yang ada di Pyongyang sekarang,” tambah beliau.

Moon akan berlepas ke Pyongyang pada minggu depan untuk mesyuarat ketiganya dengan Kim pada tahun ini. – AFP