Trump tunda sidang kemuncak G7, jemput negara lain sertai

WASHINGTON, 31 MEI – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kelmarin berkata bahawa di akan menangguhkan sidang kemuncak G7 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun dan menjemput negara-negara lain – termasuk Rusia – untuk menyertai perjumpaan tersebut.

“Saya tidak merasakan bahawa sebagai G7 ia menggambarkan dengan tepat apa yang berlaku di dunia. Ia adalah sebuah kumpulan negara yang ketinggalan zaman,” kata Trump kepada wartawan di Air Force One. Beliau berkata akan menjemput Rusia, Korea Selatan, Australia dan India untuk menyertai sidang kemuncak pada musim luruh.

Ia mungkin diadakan pada bulan September, sama ada sebelum atau selepas Perjumpaan Agung PBB, menurut Trump, menambah bahawa ‘barangkali ia akan diadakan selepas pilihan raya’. Rakyat Amerika akan mengadakan pengundian pada awal bulan November untuk memilih presiden baharu, dengan Trump berminat untuk kembali kepada keadaan sedia kala akibat pandemik koronavirus dan ekonomi yang sihat ketika pengundi membuang undi mereka.

Menyifatkan persidangan tersebut sebagai ‘G-10 atau G-11,’ Trump berkata beliau ‘secara kasar’ telah membahaskan topik itu dengan empat negara lain.

Pemimpin-pemimpin dari Kumpulan Tujuh, yang diketuai oleh Amerika Syarikat tahun ini, telah menjadualkan perjumpaan melalui konferensi video akhir bulan Jun selepas COVID-19 membatalkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan secara bersemuka di Kem David, tempat percutian presiden AS di luar Washington.

Trump mencetuskan saspens lebih seminggu yang lalu, apabila beliau mengumumkan bahawa beliau mungkin akan mengadakan pertemuan besar secara langsung ‘terutamanya di Rumah Putih’ tetapi juga berpotensi diadakan di Kem David. – AFP

Donald Trump berkata bahawa beliau akan menangguhkan sidang kemuncak G7 selain menjemput negara-negara lain untuk menyertai perjumpaan tersebut. – AP