Tuesday, October 15, 2024
28.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump ugut produk China

    WASHINGTON, 6 Mei – Presiden Donald Trump menambah tekanan ke atas China dengan ugutan untuk menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai $200 bilion dalam satu tweet yang mengejutkan pasaran kewangan global.

    Komen Trump di Twitter keluar tatkala satu perwakilan China dijadual meneruskan rundingan di Washington pada Rabu dengan tujuan untuk menyelesai perang perniagaan yang telah mengejutkan pelabur dan menyuramkan ekonomi dunia. Pegawai kerajaan China tidak membalas permintaan untuk memberi komen.

    Trump menambah tekanan semalam dengan berkata beliau akan menaikkan cukai import ke atas $200 bilion produk China kepada 25 peratus daripada 10 peratus pada Jumaat.

    Jurnal Wall Street, memetik sumber yang tidak dikenal pasti, berkata kerajaan China sedang menimbang untuk membatalkan rundingan pada minggu ini. Beijing telah bertindak balas terhadap ugutan AS sebelumnya dengan berkata ia tidak akan berunding di bawah tekanan.

    Pasaran saham merosot selepas berita tersebut. Niaga depan Dow Jones Industri kerugian 1.8% dan S&P 500 merosot 1.6%. Indeks Komposit Shanghai meleset hampir 6 peratus sementara Hang Seng di Hong Kong merosot 3.1 peratus. Pasaran Jepun ditutup kerana cuti.

    Trump telah menunda tarikh akhir sebanyak dua kali, pada Januari dan Mac, untuk menambah tarif dalam usaha untuk membeli lebih banyak masa untuk mencapai satu penyelesaian. Namun semalam, Trump yang telah menggelar dirinya “lelaki tarif,” berkata beliau sudah hilang kesabaran.

    Perjanjian Perdagangan dengan China diteruskan tetapi terlalu perlahan, kerana mereka berusaha untuk berunding semula. Tidak!” tulisnya di Twitter.

    Dalam tweet beliau, Trump juga mengugut akan mengenakan tarif ke atas AS$325 bilion import China, merangkumi segala yang dihantar oleh China ke Amerika Syarikat setiap tahun.

    Kedua-dua negara dibelenggu dalam perbalahan berisiko berhubung desakan China untuk memantapkan dirinya sebagai kuasa besar teknologi. – AP

    Dalam gambar fail yang diambil pada 1 Mei 2019, Timbalan Perdana Menteri China Liu He (kanan) membuat isyarat tatkala Setiausaha Perbendaharaan AS Steven Mnuchin (tengah) bersembang dengan Wakil Perdagangannya Robert Lighthizer (kiri) sebelum mereka mengadakan mesyuarat di Rumah Tetamu Kerajaan Diaoyutai di Beijing. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda