Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump umum pelaburan AS$20b dari UAE untuk bina pusat data AS

    WASHINGTON, 8 JAN – Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin mengumumkan bahawa dana sebanyak AS$20 bilion daripada pemaju Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan dilaburkan untuk membina pusat data di seluruh AS, hanya beberapa hari sebelum pelantikannya pada 20 Januari, lapor Xinhua.

    Pada sidang media di estet Mar-a-Lago miliknya di Palm Beach, Florida, Trump memberitahu wartawan bahawa pelabur itu ialah jutawan Emirat, Hussain Sajwani, pengerusi hartanah DAMAC.

    DAMAC Properties yang berpangkalan di Dubai, UAE, adalah antara syarikat pembangunan hartanah mewah terbesar di Timur Tengah.

    “Pelaburan itu akan menyokong pembangunan pusat data baharu yang besar di kawasan Midwest, Sun Belt dan memastikan Amerika berada di barisan hadapan dalam teknologi,” kata Trump.

    Trump menyatakan bahawa fasa pertama pelaburan itu akan tertumpu di Texas, Arizona, Oklahoma, Louisiana, Ohio, Illinois, Michigan dan Indiana.

    “Kecerdasan buatan memainkan peranan penting dalam pusat data dan ia akan menjadi fokus utama pada tahun-tahun akan datang,” kata presiden terpilih itu.

    Pada Disember lalu dalam satu lagi sidang media, Trump mengumumkan bahawa SoftBank Group Corp dari Jepun komited untuk melaburkan AS$100 bilion di AS dalam tempoh empat tahun akan datang. – Bernama

    Trump berucap semasa sidang media di Mar-a-Lago, pada 7 Januari, di Palm Beach, Florida. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda