Trump umum tidak hadiri mesyuarat PBB

WASHINGTON, 18 SEPT – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump secara fizikal tidak akan menghadiri mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu depan, beritahu ketua kakitangannya kepada wartawan semasa menaiki Air Force One semalam, menurut satu laporan kerja.

Keputusan itu menandakan perubahan haluan untuk Trump, yang berkata pada bulan lalu beliau mahu menyampaikan ucapannya di dewan Perhimpunan Agung di New York, walaupun jika pemimpin dunia lain berusaha mengelakkan diri daripada hadir disebabkan pandemik koronavirus.

Ketua Kakitangan Rumah Putih Mark Meadows mengakhiri perdebatan dengan memberitahu wartawan semasa dalam perjalanan ke Wisconsin, di mana Trump dijangka mengadakan kempen, bahawa presiden tidak akan menghadiri sesi Perhimpunan Agung ke-75, yang akan diadakan menerusi sidang video disebabkan krisis kesihatan.

Sesi utama mesyuarat tahun ini, apabila pemimpin dunia bergilir-gilir menyampaikan ucapan dasar mereka, akan berlangsung pada minggu bermula 21 September dan berakhir pada 29 September.

Dalam kata-kata pembukaan pada Selasa, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menekankan fokus tahun ini adalah pada respons global terhadap pandemik koronavirus serta ‘keamanan dan keselamatan, pelucutan senjata, hak asasi manusia, kesamaan jantina dan pembangunan mampan.’ – AFP