TSC sasar kukuh ranking nombor 1 Asia

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Pasukan benua Malaysia, Team Sapura Cycling (TSC) mahu menjadikan Kejohanan Lebuh Raya Kebangsaan Malaysia 2020 yang bermula Jumaat ini, sebagai medan memperkukuhkan kedudukan nombor satu dalam ranking Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Pengarah pasukan Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata, pasukannya menyasarkan untuk kekal selaku pasukan nombor satu Asia, sehingga kalendar kejohanan musim 2020 melabuhkan tirai November depan.

Menurut beliau, kejohanan itu menawarkan mata kemenangan yang tinggi untuk membantu pasukan mengekalkan kedudukan nombor satu, terutama selepas mereka membatalkan penyertaan ke Jelajah Thailand bulan depan, susulan kekangan masa.

“Kejohanan kebangsaan ini kejohanan terakhir kami untuk musim ini, sebelum berehat seterusnya membuat persiapan menghadapi musim 2021. Tumpuan penuh diberikan terhadap kejohanan ini sebab ia mempunyai mata kemenangan yang besar.” – Bernama