Tshisekedi menang pilihan raya awal

KINSHASA, 10 Jan – Pemimpin pembangkang Republik Demokratik Congo (DRC), Felix Tshisekedi hari ini adalah pemenang sementara pilihan raya presiden yang telah lama dinanti-nanti, yang memberi laluan bagi peralihan kuasa pertama dalam tempoh 18 tahun di negara yang dicengkam krisis itu.

Penangguhan berulang kali dalam mengadakan pilihan raya telah mencetuskan keganasan yang mengakibatkan kematian di negara luas dan miskin itu, namun Tshisekedi mengeluarkan nada menenteramkan selepas kemenangannya, dengan menggesa orang ramai menganggap pemimpin lama, Joseph Kabila sebagai ‘rakan perubahan demokrasi’.

Calon yang menduduki tempat kedua, Martin Fayulu menyelar keputusan sementara itu sebagai ‘rampasan pilihan raya’.

“Keputusan ini tidak ada kaitan dengan kebenaran kotak undi,” Fayulu memberitahu Radio Kebangsaan Perancis.

DRC yang kaya dengan hasil mineral telah dicengkam krisis dua tahun berhubung penggantian Kabila yang tahun lalu mengumumkan bahawa dia akan akhirnya meletak jawatan selepas hampir dua dekad berkuasa.

Reaksi Felix Tshisekedi (kanan) ketika diumumkan sebagai pemenang pilihan raya awal presiden Congo di Limete, Kinshasa, kelmarin. – AFP

Dibebani oleh sejarah pertumpahan darah, DRC tidak pernah menyaksikan penyerahan kuasa secara aman sejak meraih kemerdekaan dari Belgium dalam tahun 1960.

“Dengan meraih 38.57 peratus undi, Tshisekedi buat tempoh sementara diisytiharkan presiden DRC yang dilantik,” menurut Corneille Nangaa, ketua Suruhanjaya Pilihan raya Kebangsaan Bebas (CENI).

Jeritan kegembiraan kedengaran di pejabat-pejabat suruhanjaya apabila keputusan diumumkan awal pagi ini, lapor wartawan-wartawan AFP.

“Saya menghormati Presiden Joseph Kabila dan hari ini kita seharusnya tidak lagi melihat beliau sebagai lawan, tetapi adalah rakan dalam perubahan demokrasi dalam negara kita,” Tshisekedi memberitahu para penyokong yang ramai di ibu pejabat parti beliau, UDPS.

Calon yang dipilih sendiri oleh Kabila untuk menggantikan beliau, iaitu bekas menteri dalam negeri yang setia Emmanuel Ramazani Shadary, berada di tempat ketiga dalam pilihan raya dengan meraih 23.8 peratus undi. – AFP