Tsitsipas bakal terima suntikan vaksin tahun ini

ATHENS, 21 SEPT – Bintang tenis Greece, Stefanos Tsitsipas (gambar) mempertahankan pandangannya mengenai vaksinasi koronavirus tetapi mengatakan dia akan mendapat suntikan vaksin itu tahun ini.

Pemain nombor tiga dunia itu dikecam oleh kerajaan Greece bulan lalu setelah dia mengatakan hanya akan mendapat vaksinasi sekiranya ia menjadi mandatori untuk bertanding dalam pertandingan tenis.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu mengatakan dalam temu bual dengan saluran televisyen Antena bahawa dia sekarang akan menerima suntikan vaksinasi.

“Saya secara peribadi tidak mempromosikan vaksinasi,” kata Tsitsipas.

“Saya tidak menentang vaksinasi. Saya menyokong sesiapa sahaja yang ingin diberi suntikan vaksin.

“Saya bukan doktor, saya pemain tenis dan pendapat saya bukanlah yang terbaik dari segi perubatan,” katanya.

“Ia akan berlaku tahun ini supaya saya dapat ke kedai atau restoran.”

Tsitsipas, yang menjadi wajah kempen ‘Stay Home’ Greece tahun lalu ketika meningkatnya pandemik, mengakui dia telah bergelut semasa perintah berkurung pertama pada tahun 2020.

“Saya merasakan bahawa hidup saya tidak ada makna,” katanya.

“Saya mempunyai begitu banyak matlamat untuk dicapai musim itu, untuk menunjukkan Stefanos baharu dan saya tahu tahun itu sudah berlalu. Saya tidak dapat mencapai apa yang saya rancang.”

Tsitsipas mara ke final Grand Slam pertamanya pada bulan Jun tahun ini ketika dia tewas kepada Novak Djokovic di Terbuka Perancis. – AFP