MONACO, 18 APRIL – Stefanos Tsitsipas berjaya memenangi Monte Carlo Masters tanpa menjatuhkan satu set dengan mengalahkan Andrey Rublev 6-3, 6-3 hari ini untuk merangkul gelaran pertamanya tahun ini dan keenam secara keseluruhan.
Tsitsipas, pemain pilihan keempat berada dalam kedudukan terbaik ketika beliau mendahului 4-3 ke atas pemain pilihan keenam dari Rusia itu dalam pertemuan karier mereka. Sebelum ini Tsitsipas mengalahkannya di gelanggang tanah liat tahun lalu di suku akhir Terbuka Perancis.
Pemain berusia 22 tahun dari Greece itu memenangi gelaran terakhirnya pada Februari tahun lalu di kejohanan tertutup Open 13 di Marseille, hanya beberapa minggu sebelum Perancis mengeluarkan perintah berkurung untuk pertama kalinya kerana wabak koronavirus.
Rublev yang berusia 23 tahun menyasarkan gelaran keduanya tahun ini, yang pertama di peringkat Masters dan kesembilan keseluruhannya. Beliau telah menghasilkan prestasi cemerlang untuk mengalahkan juara 11 kali, Rafael Nadal pada Jumaat lalu dan selanjutnya mengesahkan beliau adalah salah seorang bintang tenis yang sedang meningkat naik.
Setelah memenangi Piala ATP dengan Rusia, Rublev mara ke peringkat suku akhir di Terbuka Australia dan kemudian memenangi Kejohanan Tenis Dunia ABN AMRO di Rotterdam bulan lalu untuk gelaran keempatnya dalam masa tujuh bulan. Sejak Rotterdam, beliau mencapai empat separuh akhir berturut-turut, termasuk Monte Carlo. – AP