Tsitsipas julang gelaran

LONDON, 18 NOV – Stefanos Tsitsipas bangkit selepas ketinggalan satu set untuk menewaskan Dominic Thiem bagi menjulang gelaran ATP Final, awal pagi ini, sekali gus mendahului barisan generasi seterusnya untuk muncul bintang dunia suatu hari nanti.

Pemain Greece berumur 21 tahun itu menang 6-7 (6/8), 6-2, 7-6 (7/4) – muncul juara termuda sejak Lleyton Hewitt pada 2001 dan adalah juara keempat yang merangkul gelaran itu buat kali pertama.

Gelaran itu adalah yang ketiga buat Tsitsipas bagi musim ini dan juga diperoleh selepas setahun dimahkotakan sebagai juara Next Gen ATP Final di Milan.

Beliau memperoleh kejayaan di Arena O2 di London selepas beraksi baik sepanjang minggu dengan kejayaan membanggakan menumbangkan juara dunia enam kali, Roger Federer bagi mendapat tempat ke pusingan akhir.

“Saya sendiri tak sangka saya bermain dengan baik pada set kedua,” kata Tsitsipas. “Saya rasa fikiran saya lebih tenang dan saya tidak memberinya banyak peluang bermain.

“Kadang kala ia adalah mengecewakan bermain dengan rasa gementar tetapi saya lega apabila dapat mencatat kemenangan.”

“Saya tidak dapat menahan emosi kegembiraan saya ketika ini. Ia merupakan perkara yang mengagumkan yang akan saya kenang dan ia merupakan impian saya yang kini menjadi kenyataan dengan aksi terbaik saya dalam perlawanan.”

“Semangat perjuangan terus mendorong saya untuk melakukan yang terbaik dan membawa di mana saya berada ketika ini,” tambahnya.

Namun Tsitsipas, yang sudah menewaskan setiap pemain dalam ‘Big Three’ – Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic pada tahun ini, akan memasuki musim baharu dengan memberi impak lebih besar. – AFP

Tsitsipas memegang trofi kejuaraannya selepas menjulang gelaran ATP Final menewaskan Dominic Thiem pada perlawanan mereka di O2 Arena, London, kelmarin. – AFP