Tsitsipas mara selepas rehat lama dalam tandas

NEW YORK, 2 SEPT – Stefanos Tsitsipas mengambil rehat di bilik air terlalu lama dan berjaya mara ke pusingan ketiga Terbuka AS semalam ketika ribut yang melanda New York memaksa satu perlawanan ditangguhkan.

Pemain pilihan ketiga dari Greece berusia 23 tahun itu diejek setelah mengambil masa lebih dari lapan minit di bilik air antara set ketiga dan keempat perlawanan tetapi dia mendominasi perlawanan setelah keluar dari tandas untuk menewaskan pemain Perancis, Adrian Mannarino 6-3, 6-4, 6-7 (4/7 ), 6-0 di Stadium Arthur Ashe.

“Saya fikir berehat sebentar dan tukar pakaian, saya benar-benar basah, saya mahu menyegarkan diri,” kata Tsitsipas ketika ditanya mengenai kunci kemenangannya menyelesaikan set akhir dalam 30 minit.

“Saya mempamerkan aksi yang bagus di set keempat. Saya dapat bertahan dalam setiap mata.”

Tsitsipas telah dikritik oleh Andy Murray dan Alexander Zverev kerana mengambil waktu rehat terlalu lama di bilik air.

Naib juara Terbuka Perancis itu mengatakan bahawa dia hanya mengikuti peraturan ATP yang tidak mempunyai had masa untuk rehat di tandas, ketika di memenangi perlawanan ATP ke-50 tahun ini.

Angin kencang dan air membasahi gelanggang dan hujan dari tiupan angin masuk melalui bawah bumbung tertutup Stadium Louis Armstrong menyebabkan perlawanan pusingan kedua ditangguhkan antara pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson dan Diego Schwartzman dari Argentina.

Sisa Taufan Ida menutup gelanggang setelah dua kali mengganggu perlawanan, dengan Perkhidmatan Cuaca Nasional mengeluarkan amaran tornado dan banjir kilat di kawasan itu.

Anderson dan Schwartzman kembali meneruskan perlawanan di Ashe dengan pemain Amerika Selatan menang 7-6 (7/4), 6-3, 6-4. – AFP

Aksi Stefanos Tsitsipas dari Greece semasa menentang Adrian Mannarino dari Perancis dalam perlawanan pusingan kedua Terbuka AS 2021 di Pusat Tenis Nasional USTA Billie Jean King semalam. – AFP