Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    TTS anugerah permit buat 47 penduduk usaha tanah

    KOTA BELUD, 20 Feb – Taman-Taman Sabah (TTS) telah mengeluarkan permit menduduki dan mengusahakan tanah dalam kawasan kepada 47 penduduk kampung di Kampung Mantanau, dekat sini, bagi membangunkan aktiviti pertanian di kawasan itu.

    Penduduk turut berpeluang membangunkan potensi eko-pelancongan di kawasan berkeluasan 121.59 hektar itu yang terletak di dalam Taman Kinabalu, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan.

    Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood berkata pengeluaran permit itu adalah pertama kali dilaksanakan pihaknya dengan mendapat kerjasama daripada komuniti kampung bermula dengan kerja pengukuran dan mengenal pasti kebun yang termasuk dalam kawasan taman.

    “Persefahaman dan kerjasama antara TTS dan komuniti Kampung Mantanau telah mewujudkan hubungan ‘simbi- otik’ atau situasi menang-menang. Kita dapat memajukan tanah (dalam kawasan taman) dan bersama memulihara kelestarian kawasan,” katanya kepada Bernama selepas menyerahkan permit itu di sini, semalam.

    Tengku Zainal Adlin berkata antara faedah bagi pemegang permit tersebut ialah mempunyai jaminan hak untuk tinggal dan bercucuk tanam di kawasan diberi permit dan ia boleh diwariskan kepada keluarga terdekat.

    Komuniti suku Dusun terdiri daripada generasi Y di Perkampungan kawasan Taman-Taman Sabah di Kampung Mantanau amat menjaga adat dan budaya warisan turun temurun sejak dari kecil lagi. Menurut Datuk Seri Dr Tengku Zainal Adlin pengeluaran permit itu akan dapat memajukan tanah (dalam kawasan taman) dan bersama memulihara kelestarian kawasan. – Bernama

    Tengku Zainal Adlin berkata pemegang permit juga boleh dan layak memohon subsidi pertanian dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan undang-undang selagi mereka mematuhi peraturan dan syarat permit ditetapkan.

    Pada pihak pengurusan TTS pula, beliau berkata pengawalan dan perlindungan kawasan taman akan lebih berkesan, selain pemegang permit atau komuniti terbabit tidak lagi memperluas keluasan kebun mereka dan hanya mengusahakan tanah di kawasan diberi permit.

    “Inisiatif (mengeluarkan permit) ini mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk di sini kerana mereka tidak hanya menjalankan aktiviti pertanian tetapi juga membangunkan potensi eko-pelancongan termasuk inap desa kerana keindahan alam semula jadi di kawasan ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah TTS Dr Jamili Nais berkata pemberian permit itu adalah formula terbaik dalam menyelesaikan isu pertindihan tanah yang dikenal pasti di 13 kawasan, termasuk di Kampung Mantanau selepas juru ukur bertauliah membuat ukuran di kawasan tersebut kira-kira 22 tahun lalu. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda