Tuah menang hadiah besar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Awang Mohd Arraafi bin Rumzan dan Lee Ye Kiat menjadi pelanggan bertuah bagi Program Ganjaran Aspirasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bagi suku ketiga yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah $25,000.

Majlis cabutan dan penyampaian hadiah bagi program tersebut yang berlangsung di BIBD cawangan Kiulap, hari ini, turut menyaksikan 10 pemenang bulanan menerima hadiah wang tunai $2,500.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Dekan Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani selaku ahli Badan Penasihat Syariah BIBD.

Turut hadir menyaksikan penyampaian hadiah itu ialah Ketua Perbankan Runcit, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar.

Pemilihan pemenang untuk hadiah utama bagi program ini akan dibuat pada September nanti di mana pemenang akan membawa pulang hadiah utama bernilai $250,000.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama pelanggan bertuah bagi Program Ganjaran Aspirasi BIBD bagi suku ketiga. – Gambar oleh Rokiah Mahmud

Pelanggan yang ingin menyertai dalam program ini hanya perlu menyertai BIBD Aspirasi yang berlangsung sehingga 30 Jun ini.

Selain itu, peserta program ini juga diingatkan untuk menyimpan jumlah tabung mereka selama 90 hari minimum.

Untuk membawa lebih banyak peluang dalam merealisasikan aspirasi pelanggan, BIBD tidak lama lagi akan mengumumkan sekuel aspirasi dalam beberapa bulan akan datang yang pastinya menjanjikan kempen ganjaran menjadi menarik untuk semua lapisan masyarakat.

BIBD Aspirasi merupakan salah satu cara dalam memperkenalkan kepada masyarakat penyimpanan dengan mudah dan berdisiplin selain ia juga lebih mudah diakses dan dilanggan serta penebusan boleh dibuat secara langsung melalui aplikasi BIBD Mobile.

Ia juga dapat membantu pelanggan agar menjadi lebih berdisiplin dalam menabung yang diharapkan BIBD akan menjadi tabiat baik sekali gus meningkatkan budaya menabung.