Tuah menang Proton Iriz

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Jan – Seorang pelanggan bertuah Kompleks Beli-belah KBSentral telah memandu pulang sebuah kereta salon, Proton Iriz setelah dipilih sebagai pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah Utama Kompleks Membeli-belah Sentral.

Dayang Nafiah binti Abdullah telah menerima kunci kereta yang dimenanginya itu daripada Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman yang hadir selaku tetamu kehormat majlis cabutan yang diadakan di Kompleks Membeli-belah KBSentral, di sini, kelmarin.

Terdahulu sebelum itu, Haji Haris juga telah membuat cabutan bagi empat pemenang teratas termasuk hadiah utama.

Hadiah kedua berupa Mesin Cuci LG telah dimenangi oleh Dayang Nursalina binti Abdullah Idea dan hadiah ketiga berupa sebuah Peti Sejuk LG menjadi milik Ruswati Ahmad manakala itu, Hajah Halidah membawa pulang Televisyen LG 32 inci

Dengan seramai 1,000 pemegang kupon cabutan menunggu sejak siri terakhir Cabutan Bertuah Utama Kompleks Membeli-belah Sentral, keadaan di pusat berkenaan padat dengan orang ramai yang masing-masing mengharapkan kemenangan.

Wajah-wajah keriangan para pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah melalui siri akhir Cabutan Bertuah Utama, Kompleks Membeli-belah Sentral.
Wajah-wajah keriangan para pemenang yang berjaya membawa pulang hadiah melalui siri akhir Cabutan Bertuah Utama, Kompleks Membeli-belah Sentral.
Dayang Nafiah bersama tetamu kehormat bergambar dengan kereta yang dimenanginya
Dayang Nafiah bersama tetamu kehormat bergambar dengan kereta yang dimenanginya

Antara hadiah lain yang turut disediakan adalah daripada perkakas rumah sehingga baucar makan dan penginapan di Hotel Garden Sentral di samping sebuah kereta sebagai hadiah utama.

Sebanyak 17 hadiah telah diberikan kepada pemenang-pemenang bertuah pada majlis tersebut yang telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengurus Am, Abby Lim.

Cabutan bagi lima hadiah teratas telah dimulakan oleh Pengurus Acara dan Pasaran Awang Ahmad Anwar Rosly, kemudian disusuli cabutan bagi lima hadiah seterusnya oleh Abby Lim. Turut dijemput untuk membuat empat cabutan hadiah bertuah ialah Naib Presiden Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei, Dr. Haji Jumat bin Haji Idris.

Majlis turut diselangi dengan kuiz bagi pengunjung yang menawarkan hadiah berupa baucar di Beesket dan Ochado, kompleks beli-belah tersebut.

KBSentral telah beroperasi selama dua tahun dan merupakan destinasi yang disenangi ramai oleh kalangan masyarakat di daerah ini untuk tempat membeli-belah, makan, menonton wayang, beriadah dan sebagainya.

Abby Lim, dalam ucapannya menekankan, hasil daripada kerja gigih pasukan pengurusan acara, mereka telah berjaya mengendalikan acara terbesar seperti Minggu Tradisi dan Budaya Brunei, Jerayawara Hartanah, Festival Hijab serta Minggu Kewartawanan dan sebagainya.

“Selain daripada acara-acara yang dikendalikan, Pusat Beli-Belah Sentral juga telah menyediakan platform kepada masyarakat tempatan untuk menunjukkan kemahiran dan bakat mereka dalam acara-acara persembahan dan juga dapat dijadikan sebagai tempat untuk memberikan peluang kepada peniaga-peniaga tempatan untuk terlibat menerokai bidang perniagaan,” ujarnya lagi.