Tubuh suruhanjaya untuk selesai masalah air di Sabah

KOTA KINABALU, 29 OKT – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah akan diwujudkan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pengwujudan suruhanjaya itu merupakan usaha jangka panjang dilakukan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah berkenaan selain berfungsi mengawasi perkhidmatan air dan pembetungan di negeri ini.

Beliau berkata bagaimanapun pindaan terhadap Enakmen Bekalan Air Sabah perlu dibuat di Dewan Uandangan Negeri (DUN) terlebih dahulu sebelum suruhanjaya itu dapat diwujudkan.

“Penubuhan suruhanjaya ini merupakan satu daripada perkara yang akan dimasukkan dalam Huju Tuju Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Kita yakin penubuhan suruhanjaya ini akan mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan negeri dalam mengurus masalah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat semalam yang mencadangkan Sabah mewujudkan satu enakmen mengawal selia industri bekalan air untuk memastikan fungsi kawal selia dan operasi diasingkan. – Bernama