KUALA LUMPUR, 30 SEPT – Persatuan Suara Haiwan Malaysia mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan agensi `Animal Police’ bagi menangani kes berkaitan kezaliman terhadap haiwan yang semakin meningkat di negara ini.
Presidennya Nashriq Ismail Sabri berkata pasukan pelindung haiwan itu akan berperanan sebagai ejen penguatkuasaan undang-undang khusus bagi melindungi haiwan daripada dianiaya atau didera oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Animal Police juga akan mempunyai talian ‘helplinenya’ sendiri yang bertujuan memudahkan orang ramai membuat aduan agar tindakan dapat diambil dengan kadar segera.
“Buat masa ini walaupun ada pihak yang boleh dihubungi namun ia mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan haiwan yang didera atau dianiaya itu mati,” katanya selepas melancarkan Program Membantu Kucing Jalanan sempena Kempen Hari Kebajikan Haiwan 2021 hari ini.
Sementara itu Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) menubuhkan taman kucing bagi memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan. “Bila wujudnya taman kucing ini, haiwan comel ini boleh dijaga dengan baik terutama dari segi pemberian vitamin dan rutin penjagaan kebersihan harian. – Bernama
