Tuchel gesa Barkley rebut peluang Chelsea

LONDON, 7 NOV – Thomas Tuchel menegaskan Ross Barkley boleh memberi impak kepada usaha Chelsea untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah pemain tengah itu masuk dari bangku simpanan dalam perlawanan seri 1-1 menentang Burnley kelmarin.

Barkley mencatat permulaan EPL pertamanya pada musim ini apabila Tuchel mengubah barisan pendahulu di Stamford Bridge. Pemain berusia 27 tahun itu mendapat peluang luar biasa kerana Romelu Lukaku dan Timo Werner cedera, manakala Mason Mount hanya cukup cergas sebagai pemain ganti selepas jangkitan gigi.

Barkley bermula dengan peranan ‘false nine’ dalam serangan tiga pemain Chelsea dan boleh dikatakan menunjukkan prestasi terbaik selama tiga tahun bermasalah bersama pasukan tersebut.

Sejak menandatangani kontrak dari Everton pada 2018, Barkley mendapati mustahil untuk merakam semula prestasi dinamik yang menjadikannya kegemaran Goodison Park.

Dia menghabiskan musim lalu dalam buangan berikutan pinjaman di Aston Villa dan kelihatan pasti akan meninggalkan Chelsea.

Tetapi Tuchel telah mengekalkannya sepanjang musim ini dan hanya dalam permulaan kedua pertandingan, Barkley akhirnya menunjukkan kualitinya. Menghubungkan dengan bahagian tengah dan menerjah ke hadapan sambil mempamerkan jarak hantaran, Barkley adalah pemain paling berpengaruh Chelsea ketika menentang Burnley. – AFP

Ketua jurulatih Chelsea, ThomasTuchel memberikan arahan semasa perlawanan EPL menentang Burnley di Stamford Bridge kelmarin. – AP