LIVERPOOL, 18 Sept – Kali terakhir Thomas Tuchel berkunjung ke Anfield, dia mengendalikan skuad Borussia Dortmund yang terkeluar daripada Liga Europa setelah Liverpool melakar kebangkitan yang menakjubkan.
Hari ini, dia kembali bersama Paris Saint-Germain dengan misi untuk mengatasi skuad Jurgen Klopp dalam pertemuan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara yang paling ditunggu-tunggu.
Kini, Klopp dan Tuchel merupakan jurulatih berprofil tinggi Jerman, dengan kedua-duanya melalui laluan yang sama dalam saingan di tempat sendiri sebelum menerima tawaran mengendalikan kelab bola sepak terbesar di Eropah.
Pada usia 51 tahun, Klopp lebih senior enam tahun berbanding Tuchel, dengan memenangi dua gelaran Bundesliga dan dua kali mara ke final Liga Juara-juara, manakala Tuchel pula dilantik sebagai pengendali PSG pada Mei lalu dengan hanya sekali menang Piala Jerman.
Klopp, yang mencatatkan lapan kali menang dan tewas sekali sepanjang 12 pertemuan bersama Tuchel.
Dia dengan pantas menolak rekod pertemuan lebih baik dengan menyifatkan Tuchel sebelum ini tidak mengendalikan pasukannya yang terdiri daripada pemain hebat seperti Neymar dan Kylian Mbappe.
“Ketika saya di Dortmund, saya memiliki skuad yang kuat dan ketika itu dia berada di Mainz di mana dia menjalankan tugas dengan baik, jadi saya rasa ia tidak adil apabila anda bercakap soal rekod,” kata Klopp, semalam.
“Dia adalah seorang jurulatih yang hebat, saya fikir ia adalah keputusan bijak PSG mendapatkan khidmat Tuchel.”
Pengendali berusia 45 tahun itu merupakan harapan pemilik PSG, akhirnya berjaya membawa menjulang kemenangan Liga Juara-juara, sekalipun berdepan kekalahan pada suku final menentang Dortmund pada 2017.
Tahun lalu, pada peringkat sama Liga Europa, Dortmund mendahului 3-1 di Anfield sebelum tewas 3-4. – AFP