TUDB sentiasa dalam tahap kesiapsediaan tinggi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim telah menghadiri Mesyuarat ASEAN Air Forces Chiefs (AACC) ke-18 yang dikendalikan secara dalam talian, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, mesyuarat yang membawa tema, Optimizing Capabilities and Cooperation Against New Challanges itu telah dihoskan oleh Tentera Udara Diraja Thailand.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah pemangku ketua staf TUDB dan penolong pegawai turus perisikan dan keselamatan TUDB.

Mesyuarat itu dihadiri oleh pemerintah tentera udara dari 10 buah negara ASEAN dan dimulakan dengan ucapan pembukaan dari Pengerusi Mesyuarat Air Chief Marshal Airbull Suttiwan, Commander-in-Chief, Tentera Udara Diraja Thailand.

Mesyuarat diteruskan dengan taklimat hasil dari Mesyuarat ASEAN Air Force Training and Education (AAFET) ke-8 yang diadakan dari 31 Ogos hingga 1 September 2021.

Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif semasa menghadiri AACC ke-18 secara dalam talian, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan

Semasa sesi pertukaran pandangan, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif mengongsi mengenai impak dan cabaran COVID-19 kepada TUDB dengan penerapan norma baharu, penubuhan Task Force Bantu TUDB dan pengerahan anggota-anggota TUDB dalam usaha membantu kerajaan dalam membendung wabak COVID-19.

Walaupun begitu, TUDB sentiasa di dalam tahap kesiapsediaan yang tinggi bagi menjalani Bantuan Operasi Kemanusiaan dan Bencana Alam seperti Evakuasi Perubatan (MEDEVAC) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang selaras dengan Kementerian Kesihatan.

Sebagai tambahan kepada keadaan semasa, teknologi juga merupakan permintaan yang semakin meningkat kerana perlunya mengadakan telesidang sebagai perjumpaan secara maya bagi mematuhi SOP iaitu mengurangkan kontak dan perjumpaan secara fizikal. Ini menjadikan keselamatan siber sebagai faktor penting dalam memastikan penggunaan rangkaian yang selamat.

Beliau juga mengongsikan pandangan daripada hasil AAFET ke-8 bahawa melalui platform yang tersedia, perkongsian amalan terbaik dan kolaborasi antara tentera-tentera udara ASEAN akan memberikan manfaat dalam menuju ke arah kerjasama yang lebih praktikal.

Beliau juga menyentuh mengenai inisiatif yang digariskan semasa ADMM ke-15 iaitu penubuhan ASEAN Cyber Defence Network (ACDN) di peringkat serantau dan ADMM Cybersecurity and Information Centre of Excellence.

Inisiatif itu dapat dimanfaatkan sebagai platform bagi pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik antara tentera-tentera udara ASEAN untuk membina kepercayaan dan kesiapsiagaan serta memperluaskan kerjasama baharu.

Mesyuarat diakhiri dengan penyerahan pengerusi Mesyuarat AACC kepada Tentera Udara Laos, yang akan diadakan di Republik Demokratik Rakyat Laos pada 2022.