Tuduhan tidak berasas – City

PARIS, 8 Mac – UEFA kelmarin mengumumkan bahawa mereka membuka kertas siasatan mengenai sama ada Manchester City melanggar peraturan Financial Fair Play atau tidak, pelanggaran yang boleh membawa kepada penggantungan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, juara Inggeris itu menegaskan tuduhan ke atas mereka itu adalah tidak berasas dan mereka bersedia untuk membersihkan nama mereka.

Majalah Jerman, Der Spiegel, merujuk kepada bahan yang diambil daripada Football Leaks, membuat dakwaan pada November lalu bahawa City telah memeterai perjanjian tajaan memintas peraturan yang menghadkan pembiayaan pemilik kelab terhadap kelab itu.

“Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA hari ini telah membuka kertas siasatan rasmi yang berkaitan dengan Manchester City yang berkemungkinan melanggar peraturan Financial Fair Play (FFP),” menurut kenyataan UEFA kelmarin.

“Siasatan tersebut akan memfokuskan beberapa tuduhan pelanggaran yang berkaitan dengan FFP yang telah disebarkan oleh beberapa saluran media.” – AFP