Monday, December 2, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tudung jadi kanvas karya seni

    KOTA BHARU – “Saya melukis secara manual dan eksklusif untuk setiap helaian kain tudung yang dijual,” demikian kata pemilik kedai yang dinamakan Tudung Lukisan Tangan, Lt (B) Rosli Ab Rashid, 45.

    Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu, menganggap sudah menjadi kebiasaan bagi seseorang yang memiliki bakat dan kemahiran melukis, untuk mencari sumber rezeki dengan menjual lakaran potret, lukisan pemandangan atau karikatur kepada orang ramai. Justeru, Rosli atau mesra dipanggil Abe Li memilih helaian tudung sebagai ‘kanvas’ untuk menjual hasil karya lukisannya, selain mahukan elemen tersendiri dalam perniagaannya berbanding pelukis lain.

    “Ia juga adalah saranan daripada adik perempuan saya dan pada pendapat saya menjual potret, lukisan abstrak atau seumpamanya, agak sukar untuk terjual mungkin kerana seni lukisan bukan ‘budaya’ bagi kebanyakan rakyat tempatan, berbanding masyarakat di negara barat.

    “Berbeza dengan tudung, ia merupakan sebahagian daripada pakaian wanita dan mereka pula gemar menghiasi diri dengan pelbagai jenis koleksi tudung, agar terlihat lebih cantik dan anggun,” katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Wakaf Che Yeh di sini, baru-baru ini. Corak pada tudung lukisan tangan berinspirasi tumbuhan semula jadi seperti pokok semalu, pokok ubat denggi, bunga orkid dan pelbagai spesies rumput liar. Kesemua tudung yang dijual merupakan hasil lukisan tangan Rosli, tanpa menggunakan kaedah teknologi seperti ‘fabric printing’.

    Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lt (B) Rosli Ab Rashid, 45, atau Abe Li menunjukkan tudung dan potret yang dihasilkannya secara manual ketika ditemui di kedainya di Wakaf Che Yeh baru-baru ini. – Bernama
    Abe Li menunjukkan hasil karya lukisannya dengan menjadikan helaian tudung sebagai sumber rezeki ketika ditemui baru-baru ini.
Corak pada produk tudungnya berkonsepkan tumbuhan semula jadi.
– Bernama
    Sebahagian tudung bercorak bunga yang dihasilkan oleh Abe Li melalui lukisan tangan ketika ditemui di kedainya di Wakaf Che Yeh. – Bernama

    Namun begitu, Rosli berkata produknya juga memiliki kualiti yang bagus dengan menggunakan fabrik jenis ‘cotton premium and exclusive’ serta dakwat khas bagi kain, supaya tidak akan melunturkan lukisan corak tersebut selepas dicuci. Bercerita lanjut, bapa kepada tiga orang anak itu berkata, proses untuk menyiapkan satu lukisan corak bagi sehelai tudung mengambil masa kira-kira lebih satu jam dan beliau boleh menghasilkan 10 jenis corak berbeza dalam tempoh sehari dengan variasi warna tudung.

    “Sejak Tudung Lukisan Tangan dibuka pada November 2019, saya telah menghasilkan lebih 2,000 lukisan corak yang berbeza dan sudah melukis ‘tiga generasi’ konsep corak, iaitu generasi pertama lebih kepada potret bunga, kemudian abstrak dan terkini tumbuhan liar.

    “Saya selalu melukis di rumah kerana perlukan fokus dan tidak ingin diganggu,” katanya sambil menambah setiap lukisan corak pada tudung mengambil masa dua hari, untuk ia benar-benar kering,” katanya.

    Menurutnya lagi, harga bagi sehelai tudung kurang daripada RM100 bergantung kepada corak yang dilukis dan beliau boleh mencapai keuntungan dalam lingkungan empat angka sebulan, termasuk penjualan secara borong.

    “Pelanggan yang datang membeli bukan sahaja penduduk setempat tetapi orang dari negeri lain seperti Kuala Lumpur. Kebanyakannya, beli tudung ini untuk dipakai pada majlis tertentu dan ada juga segelintir pelanggan yang membingkai (frame) untuk dijadikan perhiasan rumah,” tambahnya. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda