Tugas berat menanti Enrique

MADRID, 10 Julai – Bekas jurulatih Barcelona, Luis Enrique, telah dilantik sebagai jurulatih baharu Sepanyol lewat semalam setelah Julian Lopetegui dipecat sebelum Piala Dunia dalam apa yang dilihat sebagai kempen yang mengecewakan.

“Pelantikan Luis Enrique sebagai jurulatih bagi dua tahun seterusnya diluluskan sebulat suara,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Luis Rubiales.

Enrique, 48, berdepan cabaran sama yang dihadapinya ketika dia mengambil alih peranan sebagai jurulatih di Barcelona pada tahun 2014.

Sebuah pasukan yang mempunyai sejarah kejayaan, skuad berbakat dan gaya permainan menarik, cuma gagal memenangi piala buat pertama kali dalam tempoh enam tahun.

Dengan Sepanyol, Enrique perlu menghidupkan semula pasukan yang telah memenangi tiga kejohanan utama berturut-turut antara tahun 2008 dan 2012 tetapi merosot kepada tiga kegagalan, terbaharu adalah kekalahan di Piala Dunia 2018 kepada Rusia, pasukan di ranking ke-70 dunia, menerusi penentuan sepakan penalti.

Gambar fail yang diambil pada 21 Mei 2017 menunjukkan Luis Enrique memegang bola dalam satu perlawanan La Liga di Camp Nou. Enrique,telah dilantik sebagai jurulatih baharu Sepanyol menggantikan Julian Lopetegui. – AFP

Sebelum itu, Sepanyol telah dimalukan oleh Belanda pada tahun 2014 dan ditewaskan oleh Itali di Euro 2016.

Enrique akan menggantikan Lopetegui, yang dipecat oleh Rubiales apabila jurulatih itu mengumumkan bahawa dia telah menandatangani kontrak untuk ambil alih Real Madrid.

Pengarah sukan Sepanyol ketika itu, Fernando Hierro, mengambil alih pasukan dengan tergesa-gesa dan menerajui mereka ke peringkat 16 terakhir, sebelum mengundur diri selepas kejohanan.

Menukar jurulatih dua hari sebelum perlawanan pembukaan Sepanyol mungkin tidak memberikan manfaat kepada peluang pasukan.

Dengan kendalian Hierro, terdapat petanda positif ketika menentang Portugal, apabila sepakan percuma Cristiano Ronaldo membayangi persembahan Sepanyol dengan keputusan 3-3. – AFP