Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Tugas Juara Servis dikagumi

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Juara Servis (Service Champion) memainkan pernan yang sangat penting dalam memastikan kesempurnaan perkhidmatan dan keselamatan di stesen minyak sentiasa terjaga bukan sahaja sebelum, semasa dan selepas proses penjualan minyak tetapi juga keselamatan bagi sesiapa saja yang berada di stesen minyak berkenaan.

    Keprihatinan dan mutu layanan Juara Servis dalam memastikan keselamatan orang ramai amat dikagumi kerana mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai cabaran dan kerenah pelanggan yang berkunjung setiap hari.

    Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Haji Azhar bin Haji Yahya dalam ucapannya pada Hari Juara Servis yang berlangsung di Tarindak D’Seni, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Beliau turut menyatakan bahawa pelantikan seorang kakitangan dari setiap stesen minyak sebagai Duta Kesihatan, Sekuriti, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) Runcit merupakan satu langkah positif ke arah penambahbaikan kerana sebagai duta atau ketua, mereka bertanggungjawab untuk memberi peringatan kepada seluruh ahli stesen minyak terhadap Prosedur Keselamatan HSSE Runcit yang ada.

    “Saya berharap dan percaya bahawa stesen-stesen minyak akan berjaya mencapai
    Goal Zero atau bebas insiden jika kita sentiasa patuh dan beringat-ingat mengenai prosedur-prosedur keselamatan ketika berada di stesen minyak,” ujarnya.

    Haji Azhar ketika menyampaikan ucapan pada Hari Juara Servis anjuran BSM di Tarindak D’Seni di ibu negara, kelmarin.
    Haji Azhar bergambar ramai bersama penerima Sijil Perkhidmatan Kerja Lama.

    Beliau menyatakan syabas kepada seluruh warga stesen minyak dan pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) kerana mencapai 105 hari tanpa insiden nozzle pull-out sejak ia terakhir berlaku pada 7 Jun 2022.

    Haji Azhar seterusnya berkata, Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam sebagai pengawal selia sektor minyak dan gas akan sentiasa memberi sokongan kepada stesen-stesen minyak untuk sama-sama meningkatkan tahap keselamatan dengan melibatkan dan meningkatkan pemantauan berterusan ke stesen-stesen minyak.

    “Pihak Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam secara berterusan membuat pemantauan berjadual ke stesen-stesen minyak di negara ini dan perkara penambah-baikan yang dikenal pasti hasil pemantauan tersebut telah pun dikongsikan kepada pihak stesen minyak dan BSM dalam sama-sama memastikan stesen minyak di negara ini mempunyai standard keselamatan yang tinggi bagi menjamin keselamatan pekerja stesen
    khasnya dan orang ramai sebagai pengunjung ke stesen minyak amnya,” jelasnya.

    Beliau menyatakan bahawa Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mendukung inisiatif BSM dalam mengeluarkan poster-poster peringatan di stesen-stesen minyak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...