Tugas ‘jumbo’ selamatkan gajah jatuh telaga

DHARMAPURI, INDIA, 23 NOV – Tugas luar biasa menyelamatkan seekor gajah yang jatuh ke dalam sebuah telaga di India akhirnya berjaya apabila ia diangkat menggunakan kren dalam misi menyelamat 16 jam melibatkan berpuluh-puluh renjer dan anggota bomba.

Gajah itu jatuh lebih daripada 20 meter kedalaman selepas merayau masuk ke dalam kampung di Tamil Nadu minggu lalu ketika mencari makanan.

Penduduk kampung terdengar bunyi dan nampak haiwan itu jatuh ke dalam telaga,” kata seorang renjer hutan setempat, Rajkumar memberitahu AFP. Menurutnya, mereka percaya ia mungkin cuba lari daripada sekawan anjing.

Pada mulanya merasa takut, namun penduduk kampung akhirnya memanggil pihak berkuasa apabila menyedari ia boleh mati jika tidak diselamatkan.

Sekitar 50 renjer dan anggota bomba berkejar ke kampung itu, yang pada awalnya cuba mengepam air keluar dari telaga tetapi haiwan yang ketakutan itu asyik menolak peralatan yang mereka gunakan. Penyelamat kemudian cuba menembak gajah berukuran 2.4 meter itu dengan damak penenang.

“Daripada tiga kali kami mencuba, dua kali berjaya,” kata Rajkumar.

Ketika malam menjelang, disaksikan ramai penduduk kampung, penyelamat turun ke dalam telaga dan memasangkan tali paut ke kaki haiwan yang ditenangkan itu. Mereka kemudian menggunakan kren untuk mengangkatnya dan dipantau selama sejam sebelum dilepaskan ke dalam hutan. – AFP

Renjer dan anggota bomba menggunakan kren mengangkat seekor gajah selepas ia jatuh dalam telaga di Dharmapuri, Tamil Nadu. –AFP