Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tugas jurulatih komponen penting

    PARIS, 19 Okt – Jurulatih Serena Williams, Patrick Mouratoglou semalam menggesa supaya tunjuk ajar daripada jurulatih di lapangan dibenarkan dalam semua acara.

    Jurulatih dari Perancis itu menegaskan bahawa tugas kejurulatihan berpanjangan di sepanjang pertandingan tersebut.

    “Kejurulatihan adalah komponen penting dalam mana-mana prestasi sukan. Namun melarangnya (di lapangan) menjadikannya kelihatan seolah-olah ia harus tersembunyi atau seolah-olah ia memalukan,” tulis Mouratoglou dalam kenyataan di Twitter.

    “Membenarkan jurulatih dalam persaingan dan menunjukkannya supaya penonton dapat menikmati perlawanan sebagai persembahan akan memastikan ia kekal penting dalam sukan ini.”

    Pada masa ini, jurulatih di lapangan hanya dibenarkan dalam acara WTA tetapi tidak pada Kejohanan Jelajah ATP lelaki atau di empat Kejohanan Grand Slam.

    September lalu, Williams telah diberi amaran kerana menerima arahan jurulatih ketika Mouratoglou dilihat mengeluarkan isyarat dari kotak pemain itu semasa perlawanan Final Terbuka Amerika Syarikat (AS) melawan Naomi Osaka dari Jepun.

    Williams kemudian bertelingkah dengan pengadil perlawanan, Carlos Ramos yang akhirnya menghukumnya.

    Pemain dari Amerika itu melabel Ramos sebagai ‘pembohong dan pencuri’ sebelum tewas.

    Mouratoglou menegaskan bahawa semua pemain dilatih dari luar gelanggang.

    “Untuk menarik peminat baharu (sukan ini), anda perlu melibatkan diri secara emosi. Anda mahu penonton (di arena) dan penonton TV mempunyai pendapat mengenai para pemain dan jurulatih, dan mengetahui siapa yang mereka suka dan tidak suka,” tambah Mouratoglou. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda