Tugas sukarelawan tidak mudah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Bidang kesukarelawanan memerlukan kekuatan dan ketulusan hati, jika hati kuat dan tulus, sejauh mana pun cabaran ketika berbakti pasti mampu menghadapinya, apa tah lagi ketika negara di ambang pandemik ini yang memerlukan perpaduan tenaga dalam sama-sama berkhidmat bakti.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Pegawai Tugas-tugas khas Tingkat 1 selaku Ketua Pegawai Operasi Sukarelawan Belia COVID-19, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Mohammad Roasfazilah bin Haji Yusly ketika dihubungi Media Permata.

Semasa tinjauan ke Pusat Belia Bandar Seri Begawan (BSB), pagi tadi, pihak media sempat menemu bual Dayang Aina Nurafifah Nabilah binti Haji Nordin selaku fokal point (ketua deployment dan attendance) Sukarelawan Belia COVID-19 di pusat berkenaan.

Beliau berkata, sukarelawan yang ikut serta di Pusat Belia BSB adalah dari beberapa buah agensi kerajaan dan para pesara.

“Banyak juga (sukarelawan) melalui agensi-agensi lain bergabung untuk memastikan kehidupan mereka yang dikuarantin, terutama sekali makan dan minum mereka adalah terjaga.

Dayang Aina Nurafifah Nabilah ketika ditemu bual di Pusat Belia BSB, kelmarin.
Barangan makanan yang telah dibahagi-bahagikan untuk dihantar kepada mereka yang menjalani kuarantin.

‘’Alhamdulillah, sambutan sukarelawan ini sangat menggalakkan kerana tanpa mereka, ia akan menyukarkan pihak kerajaan sekiranya tiada bantuan yang diberikan oleh mereka ini,’’ tambah Dayang Aina.

Menurut beliau lagi, setakat ini, ribuan sukarelawan telah diberikan tugasan mengikut zon masing-masing, bagi memastikan mereka yang menjalani kuarantin mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan.

Menyentuh mengenai bantuan, mereka yang menjalani kuarantin akan menerima makanan kering seperti beras, mi segera, kopi, telur, biskut, minyak masak, makanan dalam tin dan banyak lagi.

Mereka yang dikenal pasti akan dihubungi terlebih dahulu bagi memastikan alamat mereka betul dan bertanyakan keperluan apa yang diperlukan setakat ini.

Setakat kelmarin, bagi kawasan Pusat Belia BSB sahaja, pasukan sukarelawan yang bertugas telah menghantar bantuan catuan makanan kering kepada lebih 140 buah rumah.
Beliau menjelaskan, penghantaran akan melalui beberapa prosedur bagi memastikan tidak ada kesilapan dalam penghantaran bantuan berkenaan.

Penghantaran juga mengikut zon masing-masing di Daerah Brunei dan Muara, ini tidak termasuk Mukim Lumapas, kerana mereka mempunyai focal point mereka sendiri.

Para penerima akan diberikan bantuan catuan makanan mengikut keramaian ahli keluarga masing-masing di mana Sukarelawan Belia menyediakan Pakej A untuk satu atau dua orang, Pakej B untuk tiga atau empat orang, dan Pakej C untuk lima ke tujuh orang.

Pakej-pakej berkenaan adalah bantuan makanan untuk seminggu, manakala Pakej D hingga G pula untuk dua minggu, tambahnya.

Haji Mohammad Roasfazilah pula menyatakan bahawa penghantaran bantuan makanan berkenaan juga memerlukan bantuan daripada pihak lain seperti pemandu-pemandu bas yang dilihat memberikan kerjasama yang sangat menggalakkan.

Mereka memberikan khidmat tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran material, ujar beliau lagi.