Tugu hargai pemuzik jambatan Tamparuli

TAMPARULI, 15 DIS – Kehadiran pemuzik dan penari Persatuan Seni Budaya Tuaran (PESTA), yang mengadakan persembahan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun di kaki jambatan gantung Tamparuli sejak 1 September lepas, mendapat pengiktirafan Pejabat Daerah Tamparuli menerusi pembinaan tugu sebagai menghargai sumbangan kesukarelawanan mereka.

Tugu, yang didirikan bersebelahan tugu sejarah kewujudan jambatan itu, turut dihiasi replika tengkolok atau sigar dalam bahasa Dusun pada bahagian atas, mengandungi senarai nama jawatankuasa PESTA pimpinan Tokoh Seni Budaya Sabah, Kuhim Ebin Ugat.

Pengurus Petugas Jambatan Tamparuli, Rio Ryem Sorioh, 46, berkata perbelanjaan membina tugu itu ditanggung sepenuhnya PESTA, dengan persetujuan Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Joseph Bangguan.

“Kebenaran untuk pemuzik dan penari PESTA mengadakan persembahan secara sukarela serta percuma di kaki jambatan gantung Tamparuli adalah pendekatan penjenamaan semula kemudahan itu sebagai ikon pelancongan di Sabah.

“Justeru, PESTA menghargai kerjasama Pejabat Daerah Tamparuli, Lembaga Pelancongan Sabah dan Persatuan Pelancongan Kiulu ke arah menzahirkan hasrat persatuan membantu menghidupkan bidang pelancongan di Tamparuli dan Kiulu,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, PESTA begitu bersungguh-sungguh memperkenal serta mempertahankan muzik dan tarian tradisional etnik Dusun, yang semakin pupus serta kurang diminati generasi muda.

Rio Ryem berkata, kehadiran pemuzik dan penari PESTA di jambatan itu bertujuan menceria serta menghiburkan pelawat kemudahan itu dengan persembahan tradisional. – Bernama