Wednesday, October 4, 2023
23 C
Brunei

    -

    TUI ramal tempahan kembali meningkat

    FRANKFURT, 8 DIS – TUI, pengendali pelancongan terbesar dunia, hari ini berkata ia menjangkakan kepulangan tahap tempahan pra pandemik pada musim panas 2022, selepas mengalami kerugian besar dalam tahun kewangan akhir.

    TUI, yang menjalankan perniagaan dari Oktober hingga September, berkata ia mencatatkan kerugian 2.48 bilion euro pada penghujung tahun, diikuti dengan rekod kerugian 3.1 bilion euro pada tahun sebelumnya, ketika pandemik koronavirus menyebabkan industri pelancongan ditutup.

    Namun, ketua pegawai eksekutifnya, Friedrich Joussen berkata operasi perniagaan syarikat tersebut ‘kembali’ dan dia menjangkakan ‘tahap tempahan sama seperti pra COVID-19 2019’ sewaktu kemuncak perjalanan musim panas di Eropah tahun hadapan.

    Semasa tempoh tersebut pada Julai hingga September, kebiasaannya tempoh paling kukuh buat industri, syarikat berpangkalan di Hanover itu berkata pendapatannya hampir tiga kali ganda kepada 3.5 bilion.

    Semasa beroperasi, ia mencatatkan kerugian 97 juta euro untuk tempoh tiga bulan pertama berbanding kerugian 570 juta euro sebelumnya.

    Hotel, perkapalan dan penerbangan – teras perniagaan TUI – kesemuanya mengalami kesan akibat krisis.

    Pada 2020, syarikat Jerman itu memberi tindak balas dengan mengumumkan rancangan untuk mengurangkan kos sebanyak 400 juta euro setiap tahun menjelang 2023.

    Suku pertama tahun perniagaan ketika ini, tiga bulan sehingga Disember adalah “hampir penuh ditempah,” kata Joussen dan syarikat kini beroperasi “69 peratus pada tahap kapasiti pra krisis.”

    Penularan varian baharu koronavirus Omicron adalah antara faktor yang boleh memberi kesan kepada rancangan syarikat untuk tahun-tahun mendatang, dengan kerajaan melaksanakan semula langkah sekatan untuk meredakan jangkitan. – AFP

    Gambar fail bertarikh 26 November 2021 menunjukkan kehadiran pelancong di perkampungan Tonsai, Thailand. TUI berkata ia menjangkakan kepulangan tahap tempahan pra pandemik pada musim panas 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    24 mati dalam tempoh 24 jam di India

    NEW DELHI, 3 Oktober - Sekurang-kurangnya 24 pesakit, separuh daripadanya anak damit baru lahir telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas di sebuah...