Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tuju lagu buat bakal isteri

    TINGGAL lima bulan sebelum majlis perkahwinannya, komposer dan penyanyi Awi Rafael, 32, sudah menyiapkan satu lagu istimewa buat bakal isterinya, Atikah Suhaime, 27.

    Awi berkata, lagu berjudul Rahasiaku itu sudah siap, cuma perlu diperkemaskan lagi.

    “Saya cipta lagu itu untuk majlis perkahwinan kami bagi berkongsi isi hati dan perasaan terhadap dirinya.

    “Ia adalah ‘rahsia’ terindah dalam hidup saya yang tersimpan rapi di hati memandangkan kami berdua terus buat keputusan untuk bertunang sebelum ini.

    “Percintaan saya dan Atikah berlaku tanpa diduga kerana hubungan kami asalnya sebagai rakan artis saling mengenali sejak lapan tahun lalu. Namun, selepas beberapa bulan rapat dan bercinta, saya terus melamarnya kerana dia istimewa. Saya juga sudah sedia bergelar ketua keluarga,” katanya.

    Menurut Awi, dia yakin sudah bersedia untuk bergelar suami kerana kewangannya sudah stabil termasuk memiliki aset sendiri seperti rumah.

    “Sebagai manusia biasa, saya memang tidak sempurna tetapi saya begitu sukakan kesempurnaan. Justeru, sebagai lelaki yang juga akan melindungi keluarganya, saya perlu membuat persediaan termasuk mengambil kira aspek mental dan fizikal,” katanya.

    Awi melangsungkan pertunangan dengan Atikah pada 17 Mac lalu. Pasangan selebriti dari Singapura ini akan melangsungkan pernikahan pada 17 Mac tahun depan.

    Selain majlis nikah, mereka juga akan akan mengadakan majlis persandingan di Singapura. – Agensi

    Awi Rafael telah menyiapkan satu lagu istimewa buat bakal isterinya, Atikah Suhaime berjudul Rahasiaku. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda