Tujuh beranak rentung dalam kebakaran

BEAUFORT, 26 FEB – Tujuh sekeluarga rentung selepas rumah kayu didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Bandau, Membakut, dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan, ketika dihubungi Bernama, berkata tujuh mangsa itu terdiri daripada ibu bersama tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan rentung dalam kejadian jam 1.16 pagi.

“Selepas menerima panggilan kecemasan, BBP Kimanis dengan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh 17 kilometer dan mendapati rumah kayu bertiang itu sudah terbakar sepenuhnya,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort, DSP Azmir Abd Razak, dalam satu kenyataan, berkata mangsa berkenaan dikenali sebagai Nadia, 25, sebagai ibu dan enam lagi anaknya iaitu Nana Romel, 14; Aisa Romel, 13; Shasha Romel, 10; Danial Romel, 7; Faisal Romel, 5; dan Samasan Romel berumur dua tahun. – Bernama