Tujuh ditahan dipercayai edar dadah

Gambar serahan BKN

BELAIT, 25 MAC – Tujuh orang termasuk dua warga asing telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah kediaman di Jalan Teripas, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panaga, pada 18 Mac lalu.

Mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan dalam lingkungan 21 hingga 34 tahun.

Dalam serbuan itu, anggota Biro Kawalan Narkotik (BKN), Bahagian Kuala Belait telah menemui beberapa paket plastik berisi daun-daun kering yang mampat dipercayai dadah jenis ganja melebihi 170 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $2,600 dan beberapa paket plastik berisi ketulan hablur dipercayai dadah jenis syabu melebihi 1 gram yang dianggarkan bernilai melebihi $230.

Turut dijumpai adalah beberapa biji pil dipercayai dadah jenis Erimin 5 dan sejumlah wang tunai terdiri dari pelbagai jenis mata wang dalam anggaran melebihi $370 yang dipercayai hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

Antara barangan lain yang dirampas termasuk beberapa alat perkakas yang dipercayai digunakan untuk menghisap dadah dan satu timbangan digital dipercayai untuk kegunaan aktiviti penjualan dadah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BKN, tangkapan tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah (APD), Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, Seksyen 6 (b) APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memakan dadah terkawal dan Seksyen 7 APD, Penggal 27 iaitu atas kesalahan memiliki alat perkakas yang digunakan untuk memakan dadah terkawal.

BKN dalam kenyataannya mengingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah APD, Penggal 27, jika terlibat dengan apa jua bentuk aktiviti berhubung dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah terkawal.

Sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menghubungi talian 2448877 (waktu pejabat), hotline 8777444 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected]

Wang tunai yang turut ditemui dalam serbuan pada 18 Mac lalu.