Tujuh etnik Hazara, doktor terbunuh di Afghanistan

JALALABAD, AFGHANISTAN, 4 MAC – Kira-kira tujuh anggota kumpulan etnik Hazara, Afghanistan telah dibunuh di timur negara itu, kata para pegawai hari ini, dalam serangan terkini yang turut mengorbankan seorang doktor wanita di Jalalabad.

Menurut anggota majlis wilayah Nangarhar, kumpulan buruh Hazara itu telah ditembak mati malam semalam dengan tangan mereka terikat di belakang.

Juma Gul Hemat – ketua polis wilayah Nangharhar – mengesahkan pembunuhan itu, menambah empat orang telah ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan berterusan.

Dalam kejadian berasingan, seorang doktor wanita juga terbunuh akibat letupan awal hari ini selepas bom magnetik dipasang pada kenderaannya. – AFP