Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Sebanyak enam buah keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir Disember lalu dan sebuah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran baru-baru ini, telah menerima bantuan kewangan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui peruntukan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Majlis penyerahan bantuan kewangan kepada ketua-ketua keluarga berkenaan telah diadakan di Dewan Citra Budaya, KKBS, hari ini, di mana penyampaiannya disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Menurut kenyataan yang diberikan, kejadian banjir akibat hujan lebat yang berterusan pada 4 hingga 8 Disember lalu telah menjejaskan enam buah rumah di Kampung Junjongan, yang dimasuki air melebihi satu kaki.
Manakala itu, kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Perpindahan Mentiri pada 9 Januari sekitar pukul 12:50 tengah hari telah meranapkan bahagian atas rumah mangsa, manakala bahagian bawah pula mengalami kerosakan. Kesemua penghuni dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemberian bantuan kewangan tersebut adalah untuk membantu meringankan kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa bencana bagi meneruskan kehidupan seharian.
Usaha berkenaan menunjukkan keprihatinan dan pemedulian pihak kerajaan terhadap rakyat dan penduduk yang mengalami musibah.
