IPOH, 17 JULAI – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat tujuh kes kematian akibat jangkitan malaria sejak 2 Jan hingga 9 Julai lepas.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata daripada jumlah itu, enam kes dilaporkan daripada jangkitan malaria zoonotik manakala satu kes membabitkan malaria manusia jangkitan tempatan.
“Bagi kematian jangkitan malaria zoonotik, dua kes dilaporkan di Terengganu dan Sabah manakala satu kes di Sarawak serta Pahang. Satu kes kematian melibatkan malaria manusia jangkitan tempatan pula berlaku di Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,447 kes malaria dicatatkan dalam tempoh sama membabitkan 1,311 kes malaria zoonotik dan 136 malaria manusia jangkitan tempatan.
“Saya dimaklumkan bahawa kes jangkitan yang berlaku ini masih berada pada tahap terkawal namun kita tidak boleh alpa dan perlu memastikan langkah pencegahan dilakukan bagi menurunkan kadar,” katanya. – Bernama