Tuesday, August 9, 2022
22.7 C
Brunei

Tujuh kes baharu COVID-19 dicatat

-

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Sebanyak tujuh kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 15,506 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, daripada jumlah tersebut, empat adalah kes tempatan manakala tiga adalah kes import.

Beliau berucap demikian semasa sidang media bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

“Jumlah kes baru ini adalah hasil daripada 932 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.8peratus,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sidang media tersebut.- Gambar oleh Muiz Matdani

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, menurut Yang Berhormat Dato, tidak ada kes dalam Kategori 4 dan satu kes masih dalam Kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di unit rawatan intensif.

“Sebanyak 18 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,317 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 89 kes,” jelasnya lagi.

Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 2.3 peratus.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.5 peratus; kadar bagi yang telah menerima dua dos vaksin ialah 93.3 peratus; manakala kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 21.6 peratus.

Di sidang media tersebut, bersempena tahun baharu 2022, Yang Berhormat Dato mengajak orang ramai untuk meningkatkan azam dan tanggungjawab untuk terus memberi kerjasama dan mematuhi arahan pihak kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.

“Semoga rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT dan terselamat daripada segala bencana dan musibah, khususnya daripada wabak COVID-19,” katanya.

Dalam kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengumumkan kepada orang ramai bagi pihak Jawatankuasa Pandu COVID-19 bahawa bermula pada hari ini, Sidang Media Situasi Terkini COVID-19 akan diadakan tiga kali seminggu sahaja iaitu pada setiap hari Isnin, Rabu dan Sabtu.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Ershun lahirkan panda kembar

CHONGQING, 8 OGOS – Seekor panda gergasi bernama Ershun telah melahirkan anak kembar 22 Julai lalu di sebuah zoo di barat daya China, Perbandaran...
- Advertisment -