Tujuh maut tanah runtuh di Sumatera

JAKARTA, 11 MEI – Tujuh terbunuh, sembilan yang lain cedera dan satu lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kawasan perlombongan emas kelmarin di wilayah Sumatera Barat, Indonesia, lapor agensi berita Xinhua memetik jurucakap agensi nasional pengurusan bencana Raditya Jati.

Memetik laporan ketua bahagian kecemasan dan logistik agensi pengurusan bencana tempatan, Jati berkata kejadian itu berlaku setelah hujan lebat berterusan di daerah Solok Selatan dari petang Ahad hingga awal pagi Isnin.

Jati dalam satu kenyataan berkata pasukan penyelamat tempatan telah mengeluarkan mayat manakala mangsa yang cedera dihantar ke pusat kesihatan masyarakat untuk rawatan. – Bernama