KUANTAN, 1 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tujuh nelayan warga Vietnam termasuk tekong ketika menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia iaitu kira-kira 54 batu nautika timur laut dari Kuantan semalam.
Pengarah Maritim Pahang Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata pemeriksaan pihaknya ke atas bot nelayan terbabit pada 12.40 tengah hari mendapati mereka membawa sotong basah yang beratnya dianggar hampir 150 kilogram.
“Hasil laut berkenaan dipercayai ditangkap secara haram di perairan negara dan akan dibawa keluar untuk dijual di negara asing dengan harga yang lebih tinggi.
“Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk bot dianggarkan hampir RM500,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulkarnain berkata kesemua tujuh nelayan yang berumur 20 hingga 45 tahun dan bot terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat menurut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokuman pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Zulkarnain berkata sehingga hari ini, Maritim Malaysia Pahang telah melakukan hampir 315 pemeriksaan dan 12 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan. – Bernama





























