Tujuh pesakit kembali positif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Tujuh lagi bekas pesakit COVID-19 kini didapati positif semula bagi virus SARS-CoV-2, yang kini menjadikan jumlah keseluruhan kepada lapan orang setakat ini.

“Ketujuh-tujuh pesakit yang dimasukkan kembali itu adalah merupakan dari ‘surveillance’, di mana kira-kira 40 orang yang melepasi 11 hari telah diuji, dan daripada pemeriksaan itu, tujuh pesakit kembali positif.”

Demikian telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya, proses berkenaan berterusan lagi pada hari-hari berikutnya di mana sesiapa yang menjangkau 11 hari akan diperiksa semula.

“Bagi kes semalam, Alhamdulillah kesemuanya mendapat keputusan negatif walaupun dia (pesakit berkenaan) sudah berada di rumah bersama keluarganya apabila keluar dari pusat pengasingan,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media berkenaan.

Yang Berhormat Dato juga menekankan bahawa perkara ini memang sesuatu yang membimbangkan kerana bagaimana penularan virus baharu ini berkembang belum dapat dipastikan.

“Banyak perkara yang perlu dipelajari, dan masa ini juga perkongsian maklumat dengan negara-negara jiran dan serantau adalah amat penting,” jelasnya.

“Kita juga tidak tahu walaupun ia kembali positif, sama ada ia berjangkit atau tidak. Apa yang dikesan dalam ujian kami adalah seperti jika kita menguji sekiranya benda itu manusia atau binatang.

“Kita tahu ia manusia tetapi sama ada ia hidup atau mati, kita belum dapat mengetahuinya,” tambahnya.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, terdapat cara-cara untuk mengenalpasti hal itu, tetapi memandangkan virus ini berbahaya, kita tidak dapat membuat ujian mengenainya.

“Cara lain untuk mengetahui virus ini hidup atau mati adalah untuk sering membuat pemeriksaan, tetapi ini tidak disarankan untuk dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita tidak disarankan untuk membiakkan virus ini untuk melihat sama ada ia benar-benar masih hidup atau tidak kerana ia

boleh memudaratkan orang yang membuatnya dan kawasan setempat,” jelasnya lagi.

“Oleh itu, kita perlu memikirkan cara lain untuk mengetahuinya,” tambahnya.