Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tujuh sekawan komited perkasa seni lukis tempatan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kehidupan dan pengalaman telah banyak membantu mencetuskan pelbagai idea dalam berkarya.

    Bukan sahaja demi prestasi diri malah juga sebagai pendorong kepada anak bangsa agar tetap bersemangat menerokai sebuah cita-cita lebih-lebih lagi sebagai insan seni lukis.

    Meskipun sudah mencecah usia emas, semangat juang tujuh orang sahabat pelukis tempatan dalam memperjuangkan dunia seni lukis tanah air tidak pernah luntur dimamah waktu.

    Berbekalkan bakat yang dimiliki sejak remaja lagi, tidak hairanlah dunia seni lukis ini bagaikan ‘sahabat karib’ yang tidak boleh renggang dalam kehidupan mereka bagi mengisi waktu lapang.

    “Kami tidak menyendiri sebaliknya aktif sesama sendiri sehingga tercetusnya idea untuk menubuhkan satu kumpulan sejak beberapa tahun lalu.

    Semangat juang tujuh sahabat pelukis veteran tanah air ini tidak pernah luntur dimamah waktu.
    Lebih 200 karya seni lukis diketengahkan semasa Pameran Impian 7 yang diadakan pada bulan September lalu.
    Beberapa lukisan terdiri daripada makanan dan buah-buahan tempatan serta lakaran seorang padian dengan sampannya dijadikan fridge magnet.
    Karya kaligrafi yang dihasilkan menggunakan bahan arang yang dibakar terlebih dahulu.
    Sentuhan karya yang dipamerkan daripada pelbagai genre antaranya lukisan landskap atau pemandangan alam semula jadi, still life dan sebagainya.

    “Kami menyedari betapa pentingnya untuk bangkit memperjuangkan karya-karya seni lukis tempatan agar ia sentiasa dekat di hati masyarakat secara umumnya sekali gus kesenian ini mampu bersinar dari semasa ke semasa seperti bidang kesenian kreatif yang lain,” kata salah seorang ahli Kumpulan Impian 7, Awang Zakaria bin Omar semasa berkesempatan ditemui penulis ketika berlangsungnya Pameran Impian 7 di Kompleks Membeli-belah Mabohai, Jalan Kebangsaan, sekitar bulan September lalu.

    Pameran Impian 7 yang dipelopori oleh Awang Zakaria bersama enam orang ahlinya terdiri daripada Haji Padzil bin Haji Ahmad, Haji Rusli bin Haji Kadir, Pengiran Roslan bin Pengiran Haji Bakar, Pengiran Omarali bin Pengiran Mahari, Awang Kassim bin Ismail dan Awang Alias bin Asat, itu merupakan kali keempat diadakan di kompleks berkenaan yang mana kali pertama diadakan sekitar tahun 2018.

    Hasrat tujuh sekawan

    Berkongsi detik tertubuhnya kumpulan Impian 7, Awang Zakaria selaku pengerusi pameran berkenaan menyatakan jalinan ikatan persahabatan yang sudah lama terjalin dengan saling bertukar-tukar pandangan akhirnya membuahkan cetusan ilham untuk mewujudkan kumpulan berkenaan sehingga ke saat ini.

    “Walau bagaimanapun, kami turut mengalu-alukan para pelukis tempatan yang lain untuk mempamerkan mahu pun menjual karya-karya istimewa mereka. Adalah menjadi impian kami agar dari kumpulan kecil ini akan dapat membentuk kumpulan yang lebih besar pada masa akan datang,” ujarnya.

    Beliau turut mengongsikan sepanjang pameran yang berlangsung selama sebulan bermula 1 September lalu itu lebih 200 karya lukisan telah dipamerkan daripada pelbagai genre antaranya lukisan landskap atau pemandangan seperti ikonik di Negara Brunei Darussalam dan keindahan bandar dan kampung, lukisan alam semula jadi seperti bunga-bungaan, lukisan still life, lukisan kontemporari dan lukisan kaligrafi.

    Ketenangan dirasai ibarat satu sedekah

    Awang Zakaria turut berkongsi dengan penglibatannya lebih 30 tahun dalam bidang seni lukis ini, perkembangan karya seni lukis di negara ini dapat dilihat secara positif meskipun pemerkasaannya tidak semaju di negara-negara luar, bahkan apa yang pasti ialah karya-karya anak tempatan sememangnya memiliki daya tarikannya tersendiri.

    “Berkongsi keindahan karya seni itu adalah matlamat utama kami. Bukanlah keuntungan yang ingin diraih semata-mata namun kami ingin terus meningkatkan pengetahuan orang ramai khususnya generasi muda untuk lebih menghargai karya-karya seni yang dihasilkan,” jelasnya.

    Tambahnya, biarlah seni lukisan sebegini semakin dekat di jiwa masyarakat sehingga ia mampu memberi manfaat bersama iaitu salah satunya sebagai terapi minda. Sejujurnya, terapi minda ini amat diperlukan sebagai salah satu usaha kita menjaga kesihatan mental.

    “Alangkah baiknya jika pihak-pihak yang berkaitan dapat bekerjasama dengan kami lebih-lebih lagi dalam memperkasakan karya seni dan menghubungkaitkannya dengan terapi minda atau penjagaan kesihatan mental.

    “Meskipun karya-karya yang dipamerkan ini tidak dibeli namun apabila seseorang memandangkan dapat mewujudkan ketenangan dan kegembiraan di jiwa dan mindanya. Anggap sahaja ia diibaratkan juga sebagai satu sedekah,” ucapnya.

    Galilah ilmu dan pengalaman sebaiknya

    Di samping itu, Awang Zakaria turut mengongsikan, kumpulan berkenaan lebih menggunakan konsep tradisional dalam menghasilkan karya seni mereka iaitu dengan menggunakan berus dan warna.

    Namun terdapat juga kalangan ahli kumpulan berkenaan yang turut menerapkan konsep kontemporari dalam berkarya yang merujuk kepada gabungan penggunaan berus dan warna berserta bahan-bahan lain seperti kayu dan besi.

    Meskipun begitu, kumpulan mereka juga berhasrat untuk terus mengembangkan pengetahuan kepada konsep digital untuk sama-sama mengikuti fasa terkini dunia seni lukisan.

    “Menyaksikan dengan adanya perkembangan positif dalam kalangan penggiat seni lukis tempatan khususnya golongan anak muda pada masa ini, saya begitu menyarankan agar golongan pelukis muda untuk terus menimba lebih banyak pengetahuan dan pengalaman bersama pelukis-pelukis veteran meskipun kebanyakannya tiada memiliki sijil tertentu tetapi pengalaman mereka itulah yang ‘mahal’ dan sukar dicari ganti.

    “Apa yang menjadi harapan besar kami juga agar semua pihak yang berkepentingan untuk sama-sama bekerjasama dan membantu kami demi memartabatkan hasil seni anak-anak tempatan ke satu tahap yang dapat dibanggakan sehingga menjadi ristaan sepanjang zaman,” ujarnya di akhir pertemuan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda