Tujuh terbunuh dalam nahas pesawat

ANKARA, 16 JULAI – Tujuh orang anggota keselamatan telah terkorban sete-lah pesawat mereka naiki terhempas di sebuah gunung di Timur Turki, laporan media negara hari ini.

Pesawat peninjau tersebut terhempas di gunung berapi Artos yang tidak aktif di wilayah Van, agensi berita Anadolu melaporkan yang dipetik dari Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu.

Hubungan komunikasi dengan pesawat tersebut – yang membawa dua orang juruterbang dan lima ‘kakitangan teknikal’ – terputus kira-kira pukul 10:45pm (1945 GMT) kelmarin, beliau berkata, dan menambah bahawa pesawat malang itu terhempas pada ketinggian 2,200 meter (7,200 kaki).

Soylu kemudian memeriksa tempat kejadian, menurut gambar yang dipaparkan di akaun Twitter miliknya yang menunjukkan beliau bersama anggota tentera berada di kawasan itu.

Pesawat model 2015 telah melakukan ‘tinjauan dan pemantauan’ di Van dan wilayah Hakkari yang didominasi oleh Kurdish sejak Isnin, kata Anadolu.

Wilayah Hakkari bersempadan dengan Iraq telah menyaksikan banyak pertempuran antara tentera Turki dan militan Kurdish dalam pemberontakan selama beberapa dekad. – AFP

Pasukan penyelamat ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan pesawat peninjau terhempas di gunung Artos. – AP