Tujuh warga Afghan maut di lapangan terbang Kabul

LONDON, 22 OGOS – Britain berkata hari ini tujuh warga Afghan telah terbunuh dalam keadaan kelam-kabut berhampiran lapangan terbang Kabul ketika setiausaha pertahanan Britain menyatakan sokongan untuk melanjutkan tarikh akhir Washington pada akhir bulan untuk membenarkan pemindahan jumlah penduduk yang ramai.

Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya telah bergelut untuk menghadapi ribuan warga asing dan penduduk Afghan yang cuba melarikan diri dari Afghanistan dalam minggu-minggu sejak Taliban mengambil alih kuasa.

“Doa kami bersama keluarga tujuh warga Afghan yang terbunuh dalam kesesakan orang ramai di Kabul,” kata jurucakap kementerian pertahanan tanpa memberikan situasi berkenaan.

SkyNews semalam telah menyiarkan gambar sekurang-kurangnya tiga mayat yang ditutup dalam kain tarpal putih di luar lapangan terbang.

Wartawan Sky Stuart Ramsay, yang berada di lapangan terbang, berkata orang yang berada di depan orang ramai ‘dihimpit,’ sementara yang lainnya ‘berasa kepanasan dan dalam ketakutan.’

Gambar serahan Kementerian Pertahanan menunjukkan anggota tentera Britain dan AS terbabit dalam pemindahan orang keluar dari Kabul, Afghanistan pada 20 Ogos 2021. – AP

Jurucakap kementerian pertahanan berkata: “Keadaan di darat adalah amat mencabar tetapi kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengendalikan keadaan dengan seberapa selamat mungkin.”

Kementerian berkata dalam kenyataan berasingan bahawa UK kini telah memindah hampir 4,000 orang dari Afghanistan sejak 13 Ogos.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Ben Wallace mengeluarkan apa yang dikatakan rayuan kepada Washington meminta lebih kefleksibelan berhubung tarikh sasaran Presiden AS Joe Biden pada 31 Ogos untuk menamatkan misi menyelamat.

“Jika jadual masa AS dikekalkan, kami tidak mempunyai masa untuk mengeluarkan majoriti penduduk yang sedang menunggu untuk meninggalkan negara,” tulisnya dalam Mail on Sunday.

“Mungkin warga AS dibenarkan tinggal lebih lama, dan mereka akan mempunyai sokongan lengkap jika perlu.” – AFP