HURGHADA, Mesir, 4 Okt – Jika kebiasaannya perkhidmatan beca roda tiga atau lebih dikenali Tuk-Tuk menyebabkan bunyi bising dan kesesakan lalu lintas di kawasan golongan berpendapatan rendah dan miskin di Mesir, namun keadaan itu berbeza sama sekali di pusat peranginan El Gouna yang terkenal di Laut Merah.
Perkhidmatan Tuk-Tuk yang dikendalikan beberapa syarikat pelancongan khusus di pusat peranginan terkenal itu menjadikan penampilan Tuk-Tuk amat berlainan, dengan keadaan kenderaan yang bersih dan teratur serta pemandu berdisplin.
Keadaan lalu lintas yang bebas daripada kesesakan dengan jalan raya dihiasi pokok di kiri kanan, sambil menyaksikan Tuk-Tuk membawa pelbagai jenis penumpang termasuk tetamu hotel dan pelancong asing, merupakan pemandangan biasa di El Gouna, lapor agensi berita China Xinhua.
“Cara operasi dan bentuk tuk-tuk kami berbeza, mereka beroperasi melalui aplikasi internet Uber dan Careem. Pemandu kami juga mempunyai kriteria khusus seperti mempunyai lesen memandu kenderaan, kad pengenalan diri dan mahir berbahasa Inggeris,” kata Mohamed Saeed merangkap ketua jabatan satu daripada syarikat yang mengendalikan perkhidmatan Tuk-Tuk di El Gouna,
Tambahnya, pemandu Tuk-Tuk diwajibkan melalui ujian dadah dan mempunyai rekod jenayah yang bersih sebelum mereka diterima bekerja.
El Gouna, sebuah bandar peranginan dengan penduduk seramai 25,000 orang, mula ditemui kira-kira dua dekad yang lampau oleh seorang hartawan perniagaan Samih Sawiris.
Pemandu Tuk-Tuk Adnan Mohamed berusia 22 tahun berkata, jumlah kenderaan roda tiga itu adalah terhad, kira-kira 25 Tuk-Tuk dikendalikan dua syarikat.
“Di El Gouna menggunakan Tuk-Tuk adalah lebih mudah berbanding teksi. Kelajuannya juga terhad 40 kilometer sejam selain pemandu tidak dibenarkan merokok semasa bekerja,” katanya.
Seorang pekerja restoran berkata, pemandu Tuk-Tuk di kawasan itu juga tidak suka membuat bising dan kecoh berbanding di tempat lain di negara itu. – Bernama