ADDIS ABABA – Sambil memegang tukul di antara jari kakinya, Sintayehu Teshale menggunakan kakinya untuk menukul paku sambil membuat perabot kayu di pasar terbuka di bandar Weletie di pinggir ibu kota Ethiopia, Addis Ababa.
Orang ramai yang merasa ingin tahu menyaksikan tukang kayu yang berkelainan upaya itu setiap hari ketika lelaki berusia 53 tahun itu menukul paku menggunakan kakinya untuk membuat peralatan rumah daripada kayu dengan cara yang paling semula jadi, seolah-olah itu adalah tangannya.
Teshale kehilangan tangannya akibat polio semasa zaman kanak-kanak. Dia pernah menjadi pengemis kanak-kanak di seluruh bandar Ethiopia yang berbeza, di mana kecacatan dianggap sebagai sumpahan oleh khalayak ramai.
“Saya lebih suka bekerja daripada mengemis kerana ia menjatuhkan maruah saya sebagai manusia. Saya mula bekerja sebagai tukang kayu dengan mengatasi cabaran fizikal saya,” kata Teshale dalam temu bual dengan Xinhua baru-baru ini.
Melarikan diri dari tempat kelahirannya di sekitar Agew, kira-kira 500km ke utara Addis Ababa, Teshale datang ke ibu negara 43 tahun lalu untuk mencari pekerjaan.
Di ibu negara, Teshale telah menggunakan pengemis sebagai mata pencarian sehingga dia mula bertukang dengan membaiki perabot lama di salah satu pasar terbuka paling sibuk di Addis Ababa.
Kini bapa kepada enam anak, dia membuat perabot seperti bangku, papan pemotong, kotak, kerusi, meja dan tongkat. Dia juga membaiki perabot rumah yang rosak.
“Saya boleh membuat pelbagai jenis perabot, kecuali yang berat seperti kerusi sofa yang sukar untuk saya gerakkan,” kata tukang kayu unik itu.
Selain daripada sedikit bantuan yang diterima daripada dua anak lelakinya untuk mengangkat produk dan bahan mentah dari rumah ke pasar, Teshale melakukan kerjanya secara berdikari tanpa sebarang bantuan, menggunakan kakinya untuk mengukur, menukul paku atau memotong dengan gergaji kayu.
“Ramai orang memberitahu saya bahawa saya seorang wira dan sering membeli produk saya untuk menggalakkan saya,” kata Teshale.
Tafesse Yigezu adalah salah seorang penonton yang kagum dengan cara Teshale dengan mahir menukul paku dengan tukul. “Dia sangat rajin dan memberi inspirasi,” kata Yigezu.
“Dia boleh menjadi contoh teladan untuk kita semua. Saya tahu ramai orang yang sihat dari segi fizikal tetapi terlibat dalam pengemis. Dia benar-benar luar biasa,” tambah Yigezu.
Britukan Deboche, salah seorang pelanggan Teshale yang ingin membeli papan pemotong, juga menekankan keperluan untuk mempromosikan Teshale sebagai sebahagian daripada seruan yang lebih luas untuk membina struktrur sosial inklusif yang bebas daripada stigma dan diskriminasi.
“Saya biasanya melihatnya semasa dia membuat perabot kayu dengan kakinya. Keghairahannya untuk bekerja sungguh menakjubkan dan memberi inspirasi,” katanya.
Menurut tinjauan terbaharu yang dikeluarkan oleh agensi statistik Ethiopia, hampir 7.8 juta orang di Ethiopia dianggarkan hidup dengan beberapa bentuk kecacatan fizikal.
Daripada jumlah ini, sehingga 2.2 juta orang mengalami kesukaran yang sangat mendalam, manakala kira-kira 90 peratus daripada mereka terlibat dalam aktiviti mengemis untuk mencari rezeki, menurut tinjauan itu.
Teshale, bagaimanapun, menekankan kekurangan mekanisme khusus yang menyokong orang kelainan upaya yang tidak sabar-sabar untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.
“Saya tidak mempunyai wang dan ruang yang cukup sebab itu saya membuat barangan kecil seperti bangku dan papan pemotong. Jika tidak, dengan sedikit sokongan saya boleh membuat pelbagai jenis perabot,” tambahnya.
Di Ethiopia, Teshale kini dianggap sebagai suar harapan dan dedikasi, memotivasikan puluhan ribu graduan universiti dan pencari kerja baru untuk memberi tumpuan kepada aktiviti penciptaan pekerjaan.
Dengan hasil kerja kerasnya, Teshale memenangi anugerah kewangan pada 2015 untuk bakat luar biasanya. Beliau berpendapat bahawa anugerah itu membuktikan seseorang itu boleh melakukan apa sahaja jika dia mempunyai keberanian walaupun mengalami kecacatan fizikal. – Xinhua