Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Tukar imej sebab dilamun cinta?

    Hatinya pernah terguris apabila imej dan penampilannya disalahertikan hingga ada mengaitkannya dengan isu seksualiti.

    Semuanya gara-gara gemar berpakaian seperti lelaki sama ada ketika membuat persembahan mahupun dalam menjalani kehidupan seharian.

    Namun, seiring dengan perjalanan masa, sedikit demi sedikit imej penyanyi lagu Bunga, Ara Johari, 25, mula berubah apabila cita rasanya dalam berfesyen berubah ke arah lebih feminin.

    Bagaimanapun, perubahan Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari menimbulkan rasa sangsi banyak pihak hingga ada yang mendakwa bertukar imej kewanitaan disebabkan sedang dilamun cinta.

    “Sejujurnya, perubahan lebih bergaya feminin atas kehendak saya sendiri, bukannya desakan sesiapa.

    Ara menimbulkan rasa sangsi banyak pihak hingga ada yang mendakwa bertukar imej kewanitaan disebabkan sedang dilamun cinta. – Agensi

    “Malah, ia juga tiada kaitan dengan tekanan daripada bidang seni yang diceburi. Perubahan dibuat kerana saya mahu kelihatan cantik dan lebih bergaya.

    “Kalau nak kata berubah kerana permintaan lelaki, tidak juga. Mungkin berubah sebab nak dapatkan teman lelaki, manalah tahu dapat jodoh lelaki kacak,” gurau Ara sambil tertawa.

    Semakin selesa dengan imej baharu, Ara menegaskan, gaya yang ditonjolkan tidaklah keterlaluan.

    “Nak kata terlalu feminin, tidak juga rasanya. Jika bersolek pun, tidaklah sampai mengenakan solekan tebal.

    “Saya hanya pakai apa yang dirasakan cantik dan selesa. Namun, jujurnya, keinginan berubah didorong mahu mencuba fesyen digayakan bintang K-Pop.

    “Saya rasa seronok bila tengok gambar diri sendiri kelihatan cantik,” katanya kepada media.

    Meskipun dihujani pelbagai komen yang menyentuh hati, namun, penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini menerimanya dengan hati terbuka.

    “Banyak komen diterima berhubung perubahan imej ini. Ada yang suka dengan gaya dahulu, ada pula suka imej baharu. Namun, apa yang saya lihat, apapun yang saya pakai pasti ada yang tak kena pada mata warganet.

    “Saya pernah menggayakan sut dan berseluar pendek, warganet kaitkan dengan gaya ala lelaki dan persis askar Jepun.

    “Tetapi, apabila saya pakai skirt paras sama dengan seluar pendek, mereka anggap saya mahu berimej seksi. Malah, ada juga berpandangan penampilan baru saya seperti mak nyah.

    “Sudahnya, saya malas nak ambil peduli apa yang warganet nak kata. Asalkan, saya suka dan selesa, saya akan pakai sahaja,” luahnya ketika ditemui di Konsert Jom Heboh di Anjung Floria, Putrajaya, baru-baru ini.

    Dalam perkembangan berkaitan, Ara bersyukur keluarganya sangat memahami dan tidak pernah bertanyakan soal penampilannya sejak dahulu.

    Dari awal kemunculan dalam bidang nyanyian, Ara pernah berdepan kontroversi apabila nyanyiannya mendapat kritikan ramai. Puncanya apabila selalu menghadapi masalah ‘terkucil’ ketika menyanyikan lagu bernada tinggi. Namun, nyanyiannya menampakkan perubahan, sejak akhir-akhir ini.

    Mengulas lanjut, naib juara Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL 33) menerusi lagu Bunga itu berkata, dia mengikuti kelas vokal demi memperbaiki kelemahannya itu.

    “Jika dahulu, saya menyanyi ikut suka hati. Tetapi selepas mengikuti kelas vokal, saya mempelajari teknik nyanyian betul.

    “Saya akui susah bila menyanyi lagu bernada tinggi sehingga ada bahagian terkucil, tetapi saya boleh mengatasi masalah dan vokal semakin bertenaga dengan teknik nyanyian betul,” cerita Ara yang bakal muncul dengan single baharu berjudul Sumpahan Salju. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...