Tukar sarung tangan selepas berurusan dengan pelanggan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Para pekerja kedai yang berurusan dengan pelanggan tidak digalakkan untuk memakai sarung tangan dan sekiranya menggunakannya, ia hendaklah dibersihkan dan ditukar setiap kali selepas berurusan dengan pelanggan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata, pada ketika ini ramai yang merasakan memakai sarung tangan adalah lebih bersih dan menjadi satu keperluan namun hakikatnya ia sama seperti tidak menggunakan sarung tangan kerana ia perlu dicuci atau menggunakan pembersih tangan setiap kali selepas
berurusan.

“Sepatutnya selepas berurusan dengan pelanggan sebaiknya sarung tangan tersebut ditukar, dicuci atau disanitasi, dan ia juga bergantung kepada jenis sarung tangan yang digunakan,” jelas beliau lagi semasa sidang media berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, kementerian berkenaan hari ini.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato mengingatkan kepada majikan atau syarikat yang mengarahkan pekerja untuk memakai sarung tangan, hendaklah memastikan mereka membersihkannya selepas berurusan dengan pelanggan.