Tukar swafoto digital jadi potret tradisional

ISTANBUL – Teraspirasi dari seni dan teknik sulaman tradisional yang ada di Anatolia, seorang artis Turki telah menjadikan swafoto yang diambil dari telefon bimbit kepada sebuah seni dan dipamerkan di khalayak ramai.

Firat Neziroglu, baru-baru ini telah memaparkan hasil seninya yang pertama yang bertajuk ‘selfie’ di galeri pusat Istanbul. Dia telah memaparkan tujuh potret swafoto yang disulam menggunakan benang.

Bagi Neziroglu, karyanya telah memperlihatkan perbezaan antara swafoto era digital dan potret tenunan tradisional dengan menggunakan teknik dan corak sulaman Anatolian Kilim.

“Pada hari ini, manusia cuba untuk memahami emosi orang lain melalui swafoto, tanpa bertentangan mata, namun hanya dengan pandangan dari foto sahaja,” terang Neziroglu. “Namun ada juga yang gagal untuk memahaminya,” katakan kepada Xinhua.

Ia mengambil satu saat untuk melakukan swafoto, sedangkan Neziroglu menghabiskan masa 600 jam untuk menyulam potret tradisional. Neziroglu hanya menggunakan kapas, benang, kain dan tali untuk menghasilkan karyanya.

Firat Neziroglu, baru-baru ini telah memaparkan hasil seninya yang pertama bertajuk ‘selfie’ di galeri pusat Istanbul. – Agensi

“Selain daripada itu, saya hanya menggunakan teknik dan seni sulaman Antolia Kilim tanpa mengubahnya walaupun sedikit,” tambahnya kepada media.

Sebagai contoh, kain pertama yang telah ditemui semasa penemuan arkeologi di Catalhoyuk, Neolithic, Proto-City di bahagian selatan Anatolia.

Hubungan masa lalu dan kini

Selain itu, artis ini turut memberikan pandangan bahawa dengan melihat kepada karya tersebut, ia seakan-akan memberikan perhubungan antara seni masa lalu dan masa kini. Penyelidik sejarah mengakui bahawa Kilim memainkan peranan yang amat penting dalam kehidupan masyarakat Anatolia. Mereka menggunakannya di lantai, dinding dan juga di atas khemah mereka untuk keselesaan mereka.

Neziroglu merancang untuk mengikuti pameran di China pada tahun hadapan bagi memperkenalkan lagi teknik sulaman Anatolian Kilim kepada masyarakat China dan memperlihatkan bagaimana dia menggabungkan kedua-duanya menjadi satu bentuk seni.

“Kain China lebih banyak bercorak bunga dan lembut, termasuklah dengan gambar naga, ikan dan bunga berbanding dengan bentuk yang ada pada Anatolian Kilim,” katanya.

Neziroglu baru-baru ini telah menghasilkan satu potret untuk Queen Elizabeth II sebagai hadiah untuk menandakan perhubungan baik antara dua negara Turki dan Britain. – Xinhua