Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Tumbuhan hutan miliki khasiat tersendiri

    Oleh Nurdiyanah R.

    Langkah penulis terhenti seketika apabila terdengar suara wanita dalam lingkungan usia 60an memberi salam, duduk dekat barang-barang dagangannya semasa berlangsungnya Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, baru-baru ini.

    Terdetik dalam hati untuk mengenalinya lebih dekat, penulis pun mengambil keputusan untuk mengunjungi gerainya.

    Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Babu Hajah Asimah ini menjual beberapa jenis tumbuh-tumbuhan tradisional asli hasil daripada tanaman peribadi dan juga yang diperolehnya di kawasan hutan berdekatan kediamannya.

    Penjual warga emas yang berjiwa kental ini membuka cerita dan berkongsi pengalaman beliau mula menceburi perniagaan di tamu berkenaan sejak tahun 2009 bersama suaminya dengan mengusahakan jualan berkonsepkan tumbuh-tumbuhan tradisional.

    “Mengimbas zaman dahulu, kalau sakit, orang-orang tua lebih suka mengutamakan perubatan tradisional terutamanya daripada tumbuh-tumbuhan asli yang terdapat di persekitaran kami. “Berkat usaha, segala penyakit diberi kesembuhan dengan izin Allah jua,” ujarnya sambil tersenyum simpul.

    Salah satu produk tumbuhan tradisional yang dijual oleh Babu Hajah Asimah, akar Pelibas, sejenis tumbuhan melilit yang terdapat di hutan.
    Pohon Pelibas Putih yang mempunyai khasiat yang sama dengan Pelibas Kuning.
    Daun Jerangau Merah merupakan tumbuhan yang mudah dijumpai di ulu-ulu atau kawasan pedalaman.

    Akar pohon Pelibas Kuning dan Putih
    Antara tumbuh-tumbuhan asli yang dijual di gerai Babu Hajah Asimah termasuk akar-akar pohon Pelibas Kuning iaitu sejenis tumbuhan melilit yang terdapat di hutan. Ia merupakan salah satu jenis tumbuh-tumbuhan tradisional yang memiliki khasiat dan digunakan untuk merawat bermacam-macam penyakit.

    Antaranya bagi mengubati muntah darah, keracunan, sakit kaki dan sebagainya. Cara penggunaannya adalah dengan memotong akar berkenaan, kemudian dimasukkan ke dalam gelas yang berisi air suam lalu diminum. Manakala pohon Pelibas Putih juga mempunyai khasiat yang sama dengan pohon Pelibas Kuning.

    Daun Jerangau Merah
    Selain itu, Babu Hajah Asimah turut menjelaskan bahawa Jerangau Merah juga mempunyai khasiat tersendiri dalam perubatan tradisional. Tumbuhan Jerangau boleh tumbuh pada ketinggian sehingga satu meter. Ia terdiri daripada daun yang panjang, ramping dan kelihatan seperti rumput yang tumbuh terus dari rizom selain memiliki bau aromatik.

    “Salah satu khasiat daun Jerangau Merah adalah bagi menghilangkan keracunan yang dialami oleh seseorang dan juga apabila merasa mual.

    “Tumbuhan yang mudah dijumpai di ulu-ulu atau kawasan pedalaman ini boleh direndam dengan air suam untuk diminum dan juga dijadikan bahan urutan kaki iaitu direndam dalam minyak,” tambahnya.

    Berusaha dengan perubatan alami
    Babu Hajah Asimah turut menyatakan bahawa sumber alami ini pastinya anugerah Allah SWT yang perlu kita terokai bersama sebagai ikhtiar atau jalan mengubati segala penyakit dan kecederaan ringan yang kita alami selain perubatan moden.

    “Begitu juga dengan daun-daun alami seperti sirih, serai wangi, cekur, kunyit, kaduk dan banyak lagi tumbuhan lain kebanyakannya boleh diperoleh sekitar halaman rumah atau kebun. Pengetahuan ini sudah lama diamalkan oleh orang tua-tua kita sejak dahulu lagi. Kehidupan seharian mereka banyak bergantung kepada sumber-sumber alam semula jadi, termasuk dari segi perubatan tradisional,” ujarnya lagi semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.

    Babu Hajah Asimah berjaja di tamu mingguan tersebut setiap hari Khamis dan juga Ahad. Lokasinya terletak di Kampung Serambangun, Daerah Tutong, sebuah pusat penjaja yang pastinya tidak asing dengan keriuhan dan teriakan para penjaja yang bersemangat mencari rezeki untuk menyara kehidupan sehari-hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...