Tumbuhan miliki ‘bisa seperti kala jengking’

BRISBANE, AUSTRALIA, 17 SEPT – Australia terkenal dengan labah-labah, ular dan makhluk laut yang berbisa namun para penyelidik kini telah mengenal pasti toksin ‘serupa kala jengking’ yang disembunyikan oleh sejenis tumbuhan yang boleh menyebabkan kesakitan luar biasa selama bermingu-minggu.

Sentuhan sesaat dengan pokok dendrocnide, dikenali dengan nama asalnya gympie-gympie, mencetuskan sengatan jauh lebih kuat daripada tanaman serupa yang terdapat di AS atau Eropah.

Pokok itu, yang mempunyai daun berbentuk bujur atau berbentuk hati, terdapat di kawasan hutan hujan di timur laut Queensland, yang terkenal dalam kalangan pendaki.

Sepasukan saintis Australia mengatakan mereka sekarang lebih memahami mengapa sengatan gympie-gympie menghantui mereka yang tersentuh daunnya.

Mangsa melaporkan sengatan ‘terasa seperti terbakar pada awalnya, kemudian mereda setelah beberapa jam dan bahagian badan yang sakit itu menjadi sakit semula seperti dihempas pintu kereta,” kata penyelidik University of Queensland hari ini.

Pada peringkat terakhir, jika dibawa mandi pasti sakit itu kembali semula.

Walaupun gympie-gympie diliputi rerambut seperti jarum halus sama dengan tanaman lain seumpamanya, ujian sebelumnya bagi kerengsaan biasa seperti histamin tiada.

Irina Vetter, seorang profesor bersekutu di Institut Biosains Molekul Universiti Queensland, mengatakan pasukan penyelidik menemui kelas baharu miniprotein neurotoksin, yang mereka namakan ‘gympietides’.

“Walaupun ia berasal daripada tumbuhan, gympietides itu mirip dengan racun labah-labah dan siput bercengkerang dalam cara ia melipat masuk ke dalam struktur molekul 3D dan menyasarkan kesakitan sama – boleh dikatakan tumbuhan gympie-gympie itu benar-benar ‘berbisa’,” katanya. – AFP

Tumbuhan gympie-gympie. Manakala gambar kecil menunjukkan pemandangan dekat tumbuhan berbisa gympie-gympie. – AFP